KUALA LUMPUR, 18 Mei-Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, menyifatkan pasukan sepak takraw negara mempamerkan semangat juang tinggi dan prestasi membanggakan dalam perlawanan akhir Kejohanan Sepak Takraw Piala Asia 2025 hari ini.
Menerusi catatan di laman media sosialnya, Perdana Menteri memuji semangat juang tinggi yang ditunjukkan pasukan negara sepanjang kejohanan, sekali gus mengharumkan nama Malaysia di pentas antarabangsa.
“Kekalahan hari ini bukan bererti kegagalan selamanya. Skuad regu negara pasti akan bangkit dengan lebih kuat dan padu dalam kejohanan-kejohanan yang akan datang", jelasnya.
Anwar turut mengucapkan terima kasih kepada seluruh barisan pemain dan jurulatih atas usaha tanpa mengenal penat lelah dalam mengangkat martabat sukan sepak takraw tanah air.
“Terima kasih atas semangat juang dan komitmen tinggi yang telah ditunjukkan.
"Kalian tetap kebanggaan rakyat Malaysia,” katanya lagi.
Terdahulu, skuad sepak takraw negara gagal menamatkan kemarau 34 tahun kejuaraan apabila tumbang kepada seteru utama, Thailand 2-0 dalam perlawanan akhir acara regu berpasukan Kejohanan Sepak Takraw Piala Asia 2025 di Stadium Titiwangsa, di sini hari ini.