PETALING JAYA, 18 Mei- Minggu keempat Liga Ragbi MSNS-KRS 2025 terus menyajikan perlawanan sengit dan penuh aksi dramatik di Padang Astaka, di sini apabila kesemua kategori Wanita, Division 1 dan Division 2 Lelaki berentap bagi mengukuhkan kedudukan masing-masing dalam liga.
Dalam kategori wanita, pasukan Cobra Venom tampil garang apabila membelasah Barbarians Warriors dengan keputusan besar 98-0, sekali gus membuktikan dominasi mereka dalam liga musim ini.
Persembahan mantap dari barisan penyerang Cobra Venom jelas sukar dibendung oleh Barbarians Warriors yang tampak tenggelam sepanjang perlawanan.
Sementara itu, pasukan wanita Sarawak meneruskan rentak kemenangan mereka dengan menumpaskan KL Tigers 38-7.
Barisan pemain Sarawak menunjukkan disiplin dan keserasian pasukan yang tinggi, membolehkan mereka mengawal permainan dan mengutip mata penuh.
Pertarungan di Division 1 Kategori lelaki menyaksikan pertembungan yang seimbang dan penuh debaran.
Cobra Blacks terpaksa akur apabila tewas 12-22 kepada KL Tigers yang tampil konsisten dengan serangan terancang dan pertahanan kukuh.
Namun, tumpuan utama minggu ini terarah kepada pertemuan sengit antara ARC dan Royal Selangor Club Rugby (RSCR) yang berakhir dengan keputusan dramatik 34-33.
Perlawanan enuh aksi itu menyaksikan kedua-dua pasukan saling berbalas mata, namun ARC akhirnya berjaya mempertahankan kelebihan untuk menang tipis sekali gus mengutip mata berharga.
Pasukan TUDM Blackhawk pula tidak berjaya menyaingi kelicikan dan strategi pasukan UiTM Lions apabila tumpas dengan keputusan 10-18.
UiTM Lions menampilkan aksi kemas dan taktikal berkesan sepanjang permainan, sekali gus membuktikan mereka sebagai antara pasukan yang harus diberi perhatian tahun ini.
Dalam aksi Division 2, Cobra meneruskan prestasi memberangsangkan dengan kemenangan meyakinkan 55-32 ke atas skuad kedua KL Tigers.
Pemain Cobra mempamerkan ketajaman serangan serta kawalan permainan yang cemerlang, menjadikan mereka antara pencabar utama dalam kumpulan ini.
Rhinoz Warriors pula berjaya menundukkan SMS Old Boys dengan keputusan 32-17 dalam perlawanan yang turut menyaksikan corak permainan fizikal dan berintensiti tinggi dari kedua-dua pasukan.