KUALA LUMPUR, 20 Disember – Aksi penentuan Kumpulan A Piala ASEAN 2024 antara Malaysia dan Singapura bakal berlangsung hari ini, dengan Harimau Malaya berada dalam situasi genting untuk merebut tempat ke separuh akhir.
Jurulatih Harimau Malaya, Pau Marti Vicente mengakui pasukan negara berdepan tekanan besar memandangkan Singapura hanya memerlukan keputusan seri untuk mara.
“Satu mata sudah memadai untuk mereka layak ke separuh akhir, tapi saya rasa kita yang perlu ambil risiko, kita yang perlu tekanan, kita perlu menang.
"Jadi bagi kita, jelas Singapura akan jadi perlawanan yang sangat susah kerana mereka telah mendahului,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media praperlawanan di Stadium Nasional Bukit Jalil, di sini, pada Khamis.
Vicente turut menegaskan perlunya keberanian dalam kalangan pemain untuk mengambil risiko demi memastikan kemenangan mutlak pada perlawanan ini.
Malaysia kini memerlukan kemenangan penuh bagi memastikan peluang mara ke peringkat separuh akhir.