KUALA LUMPUR, 20 Disember- Persatuan Badminton Malaysia (BAM), sahkan jurulatih beregu lelaki kebangsaan, Tan Bin Shen akan meninggalkan badan induk itu bermula 13 Januari depan.
Perkara itu diumum dalam satu hantaran di laman media sosial BAM.
"Bin Shen yang menyertai BAM pada 2020, telah memainkan peranan penting dalam pembangunan beregu lelaki negara.
Ini termasuk kejayaan pasangan Aaron Chia-Soh Wooi Yik yang mencipta sejarah sebagai Juara Dunia dan meraih pingat gangsa di pentas Sukan Olimpik," kata kenyataan itu.
Setiausaha Agung BAM, Datuk Kenny Goh Chee Keong merakamkan ucapan terima kasih di atas jasa Bin Shen yang telah memberikan sumbangan besar kepada sukan badminton Malaysia.
Dalam kenyataan sama, Bin Shen turut meluahkan rasa bangga dengan perjalanannya bersama skuad negara terutama ketika mengecapi kejayaan manis.
Bin Shen mengakui kini sedia untuk hadapi cabaran baharu.
BAM dalam pada itu turut memaklumkan pengumuman ketua jurulatih baharu bagi beregu lelaki bakal dibuat dalam tempoh terdekat.