KUALA LUMPUR, 19 Disember- Jurulatih Harimau Malaya, Pau Marti Vicente, akui kedudukan pasukan negara dalam bahaya bagi perebutan tempat ke separuh akhir bagi Aksi Kumpulan A Piala ASEAN 2024 antara Malaysia menentang Singapura malam esok.
Ini memandangkan pasukan Singapura hanya memerlukan keputusan seri.
Meskipun berdepan cabaran untuk memperkemas taktikal yang mahu diterapkannya, Vicente mahu anak buahnya lebih berani mengambil risiko.
"Satu mata sudah memadai untuk mereka layak ke separuh akhir. Tetapi, saya rasa kita yang perlu ambil risiko, kita yang perlu tekanan, kita perlu menang," kata Pau Marti hari ini.
Beliau berkata demikian pada sidang media praperlawanan aksi Kumpulan A, antara Malaysia dan Singapura di Stadium Nasional, Bukit Jalil, hari ini.
Sementara itu, Ketua Jurulatih Singapura, Tsutomu Ogura menjangkakan aksi berdepan Malaysia akan sengit.
Ini susulan anak buahnya berdepan kesukaran tertentu berikutan perlu mengharung dua perlawanan dalam masa empat hari.
Aksi malam esok, Malaysia wajib menewaskan Singapura dan perlu mendapatkan jaringan besar untuk iringi Thailand ke separuh akhir.
Skuad kebangsaan ketika ini menduduki tempat keempat, berkongsi empat mata dengan Kemboja di tempat ketiga, manakala Singapura di tempat kedua dengan enam mata.
Juara bertahan, Thailand sudah mengesahkan slot separuh akhir dengan sembilan mata.
Dalam perkembangan berkaitan, Pau Marti Vicente merasa pelik dengan keputusan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) yang mengumumkan pelantikan jurulatih baharu ketika Harimau Malaya berdepan misi penting dalam memburu tempat ke separuh akhir Piala Asean 2024.
Beliau mengakui keliru dengan tindakan badan induk sukan bola sepak negara itu mengumumkan pelantikan Peter Cklamovski.
Selasa lalu, FAM mengumumkan Cklamovski dari Australia sebagai ketua jurulatih Harimau Malaya yang baharu bermula 1 Januari depan.
Beliau akan menggantikan Vicente yang bakal meninggalkan pasukan selepas kempen Piala ASEAN 2024 berakhir.