fb fb fb fb fb

Isu Jalur Gemilang terbalik: Tiada niat malukan negara

Foto BERNAMA

PUTRAJAYA, 19 Disember- Kementerian Belia dan Sukan (KBS) terima permohonan maaf daripada pihak penaja pemain perseorangan badminton profesional negara Lee Zii Jia, susulan isu Jalur Gemilang terbalik.

Menterinya, Hannah Yeoh berkata isu berkenaan tidak perlu dipanjangkan lagi dan beliau yakin Zii Jia tiada niat untuk memalukan negara.

Hannah bagaimanapun menggesa pengurusan dan atlet mengambil serius isu berkenaan bagi mengelakkan kesilapan sama berulang di masa akan datang.

"Buat masa ini, isu Zii Jia seperti yang saya katakan, permohonan maaf telah diterima dan saya tahu Zii Jia tiada niat untuk memalukan negara sebegini. Itu sebab saya katakan permohonan itu diterima tapi kita mahu pihak pengurusan dan semua atlet lain untuk mengambil ini secara serius supaya kejadian sama tidak berulang.

Majlis Sukan Negara (MSN) telah ditugaskan untuk menyiasat dan menyediakan kepada saya untuk saya semak dan kemudian kami akan kemas kini," kata Hannah kepada pemberita, hari ini.

Beliau berkata demikian selepas sidang media Dana Sukan Kementerian Belia dan Sukan 2025 di Putrajaya.

Baru-baru ini, Zii Jia dibayangi kontroversi apabila memakai jersi dengan Jalur Gemilang terbalik ketika beraksi dalam Jelajah Dunia Akhir 2024 di Hangzhou, China.

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM