fb fb fb fb fb

Piala ASEAN B-16: Skuad negara tewas 0-2 kepada Australia

FOTO FB Football Association of Malaysia

KUALA LUMPUR, 26 Jun- Hasrat skuad bawah-16 (B-16) negara untuk memastikan tempat ke peringkat suku akhir lebih awal pada kejohanan Piala ASEAN B-16 2024 tidak kesampaian apabila tewas 0-2 kepada Australia pada aksi Kumpulan C di Stadium Sriwedari, Surakarta, Indonesia hari ini.

Skuad remaja negara kendalian Javier Jorda Ribera tampil dengan keyakinan untuk meneruskan momentum selepas membenam Timor Leste 5-0, Ahad lepas.

Bagaimanapun kelekaan pada penghujung babak pertama dan kedua menyaksikan Australia, yang menguasai sebahagian besar perlawanan, mendahului 1-0 menerusi jaringan Amlani Tatu pada masa kecederaan (45'+ 5').

Skuad negara berusaha untuk bangkit dengan melalkukan beberapa percubaan ke gawang lawan pada babak kedua perlawanan tetapi ia tidak cukup untuk mencuri sekurang-kurang satu mata apabila skuad remaja Socceroos menoktahkan kemenangan dengan jaringan muktamad oleh Rhys Williams pada minit 90'+5' .

Sebelum ini Australia dan Thailand seri tanpa jaringan, Ahad lepas

Nasib skuad muda negara mara ke ke peringkat suku akhir akan ditentukan pada aksi terakhir kumpulan apabila menentang Thailand pada Sabtu ini.- BERNAMA

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE