fb fb fb fb fb

Pusat Latihan Kebangsaan siap Disember 2026

Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin dan Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh pada majlis pecah tanah NTC FAM di Putrajaya /Foto RTM

PUTRAJAYA, 26 Jun-Pusat Latihan Kebangsaan, NTC Persatuan Bolasepak Malaysia, FAM di Presint 5, Putrajaya dijangka siap seawal Disember 2026 dengan belanja keseluruhan RM69 juta.

Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin berkata, projek melibatkan dua fasa iaitu Fasa 1 yang dijangka siap pada Disember 2026, manakala Fasa 2 setahun kemudian.

Jelasnya projek fasa 1 yang dibiayai FIFA peruntukan RM24 juta manakala fasa 2 melibatkan kos RM45 juta dibiayai kerajaan menerusi KBS.

"Padang ini memang inspirasi saya dan EXCO FAM. Padang latihan tersebut dilengkapi dengan kemudahan lengkap seperti gimnasium. Seperti yang kita maklum ini bukan biasa.

"Jadi kita hendak ia disiapkan mengikut taraf tinggi untuk pasukan kebangsaan", katanya demikian ketika ditemui media selepas majlis pecah tanah NTC FAM di sini.

Majlis turut dihadiri Menteri KBS, Hannah Yeoh.

Sementara itu, KBS menubuhkan sebuah jawatankuasa bagi memastikan projek pembinaan NTC FAM yang telah bermula pertengahan bulan ini disiapkan mengikut jadual.

Menterinya, Hannah Yeoh berkata, jawatankuasa turut dianggotai wakil dari Kementerian Kewangan dan Kementerian Ekonomi.

"Kerja tidak dapat berjalan sebelum tahun 2022 kerana terdapat isu seperti tanah dan dana kerana ketiadaan dana pada masa itu.

"Jawatankuasa pemantauan ditubuhkan untuk memastikan pelaksanaan projek itu dan FAM akan memberi maklum balas kerana keperluan teknikal.Semua itu Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) tahu", katanya.

Mengikut perancangan asal, projek NTC FAM yang diumum pada 2019 itu pada asalnya dijadual mula dibina pada 2021.

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD