BUKIT JALIL, 3 Januari-Malaysia mara ke peringkat separuh akhir Piala AFF 2022 selepas menundukkan Singapura 4-1 pada aksi terakhir kumpulan B di Stadium Nasional Bukit Jalil malam ini.
Keputusan itu menyaksikan skuad kendalian Kim Pan Gon menjamin tiket sebagai naib juara kumpulan di belakang Vietnam.
Skuad Harimau Malaya turun dengan misi wajib menang dan mula mengasak kubu Singapura sejak awal permainan.
Beberapa peluang berjaya dicipta antaranya menerusi Faisal Halim, Mukhairi Ajmal dan Darren Lok, namun berjaya dihalang penjaga gol The Lions, Hassan Sunny.
Bagaimanapun, skuad negara tetap berjaya membuka jaringan menerusi Darren pada minit ke-22 hasil umpanan ketua pasukan Safawi Rasid.
Babak kedua, giliran Stuart John Wilkin menceriakan 65,000 penonton menerusi rembatan derasnya dari jarak jauh pada minit ke 50.
Stuart sekali lagi mencetakkan namanya sebagai penjaring dengan meledak gol ketiga selang empat minit kemudian.
Ketika kelebihan 3-0, kealpaan bentang pertahanan Harimau Malaya akhirnya dihukum dengan gol pertama Singapura menerusi Faris Ramli pada minit ke 85.
Namun, jaringan itu tidak melemahkan semangat juang skuad negara yang menambah satu lagi gol menerusi Sergio Aguero di hujung babak kedua.
Kejayaan itu menyaksikan Malaysia merampas tempat kedua dari The Lions dan mara ke separuh akhir.
Di separuh akhir nanti, Malaysia dijadual bertemu juara bertahan Thailand pada 7 Januari di Stadium Nasional Bukit Jalil.
(Pemain-pemain Malaysia meraikan kemenangan selepas perlawanan menentang
Singapura / FOTO RTM)