fb fb fb fb fb

Piala AFF 2022: FAM harap pasukan lepas pemain sertai skuad kebangsaan

(FOTO BERNAMA)

PENDANG, 11 Novrember- Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) berharap pasukan bola sepak dapat melepaskan pemain yang dipilih pengendali skuad kebangsaan Kim Pan Gon untuk menyertai cabaran negara dalam saingan Piala Persekutuan Bolasepak ASEAN (AFF) 2022 bermula 20 Dis depan.

Timbalan Presiden FAM Datuk Mohd Yusoff Mahadi berkata pelepasan pemain pastinya dapat membantu memudahkan Pan Gon membentuk dan mempersiapkan barisan pemain bagi cabaran berkenaan.

“Walaupun kejohanan itu tiada dalam kalendar Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA), tindakan pasukan melepaskan pemain mereka dapat membantu ketua jurulatih membuat perancangan rapi untuk Piala AFF,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Program Hari Bola Sepak Suparimau FAM yang turut dihadiri Pan Gon dan pembantunya, Pau Marti Vicente di Stadium Mini Pendang di sini.

Mengenai pemilihan pemain, Mohd Yusoff berkata semuanya terpulang kepada Pan Gon untuk membuat penilaian dan perancangan yang dirasakan bersesuaian dengan sasaran FAM bagi kejohanan itu.

(Ketua jurulatih kebangsaan Kim Pan Gon bergambar bersama pemain bola sepak cilik
sempena hari Bola Sepak Suparimau FAM di Suparimau di Stadium Mini Pendang/BERNAMA)


Sementara itu, ditanya mengenai calon pengganti bekas jurulatih kecergasan pasukan kebangsaan, Dr Gokhan Kandemir yang melepaskan jawatannya bulan lepas, Mohd Yusoff berkata ia juga terpulang kepada Pan Gon.

“FAM serahkan kepada dia (Pan Gon) untuk buat pilihan supaya calon yang dipilih itu senang untuk bekerja bersamanya. Dia akan bawa calon itu berjumpa kita sebelum ia dimuktamadkan dan dipersetujui seluruh kepimpinan FAM,” katanya.-BERNAMA

Media Baharu