KOTA KINABALU, 9 November- Sabah FC mencatatkan kemenangan bergaya 4-1 ke atas pasukan dari Vietnam Hai Phong FC sekali gus merampas kedudukan pendahulu kumpulan H pada saingan Piala AFC di Stadium Likas Kota Kinabalu semalam.
Sabah FC membuka jaringan pada minit ke-19 menerusi Daniel Ting sebelum Darren Lok menggandakan kedudukan pada minit ke 33.
Selepas rehat, aksi Skuad Badak lebih rancak apabila pemain pertahanan Gabriel Peres menjaringkan gol ketiga pada minit ke-70.
Kelonggaran benteng pertahanan Sabah akhirnya dihukum apabila Hai Phong memperoleh gol menerusi Yuri Mamute pada minit ke-85.
Dua minit sebelum tamat perlawanan, giliran Jafri Chew pula mencetak nama selaku penjaring untuk akhirnya menamatkan aksi dengan kemenangan 4-1.
Pengendali pasukan, Datuk Ong Kim Swee jelas gembira dengan keputusan yang dilakar anak-anak buahnya namun berharap para pemain dapat meneruskan momentum kemenangan pada malam ini untuk dibawa ke dua aksi berikutnya.
"Perlawanan ini adalah perlawanan yg amat penting jika kita berjaya mendapatkan kemenangan seperti mana kita lakukan malam ini, sudah tentu kita mempunyai peluang yang baik tetapi kita masih ada lagi dua perlawanan.
"Saya percaya Makassar juga ingin mendapatkan tempat kedua terbaik, jadi kita tidak boleh mengambil mudah sama ada Makassar ataupun Hougang selepas ini, kita perlu kekalkan momentum terutama segi disiplin para pemain dan keseluruhan permainan,"kata Kim Swee.
Sabah akan berdepan Hougang United pada 30 November ini sebelum bertemu PSM Makassar pada aksi terakhir kumpulan bulan depan.