fb fb fb fb fb

Program RTG suntik semangat atlet sukan angkat berat

Mohamad Aniq Kasdan/FOTO BERNAMA

JITRA, 10 November - Pemilihan jaguh sukan angkat berat negara, Mohamad Aniq Kasdan sebagai atlet terbaharu yang tersenarai dalam Program Road to Gold (RTG) merupakan satu petanda positif ke arah mengangkat kembali kegemilangan sukan angkat berat.

Timbalan Presiden Persatuan Angkat Berat Kedah, Firdaus Abd Razak berkata kejayaan yang dicapai oleh Aniq merupakan satu contoh terbaik buat atlet angkat berat yang lain.

"Ia seharusnya menjadi titik tolak dan pemangkin khususnya kepada persatuan angkat berat buat setiap negeri untuk melahirkan lebih ramai atlet angkat berat berkaliber dan mampu beraksi di pentas antarabangsa," katanya kepada RTM di pejabatnya di sini baru-baru ini.

Firdaus yang juga bekas atlet angkat berat kebangsaan nyata gembira dengan pemilihan Aniq dan berterima kasih kepada Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh, Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Majlis Sukan Negara (MSN) dan Jawatankuasa RTG yang memberi perhatian terhadap sukan angkat berat.

“Dengan adanya sokongan kepada sukan angkat berat dari KBS dan kerajaan sekali gus dapat memfokuskan lagi atlet dan memberi keyakinan kepada atlet yang dipanggil guarantee card (jaminan).

"Yang mana apabila mencapai ke peringkat olimpik ada bantuan yang boleh melonjakan performance (prestasi) kita dari segi 'recovery' (fasa pemulihan), 'injury' (fasa kecederaan).

"Ini akan merangsangkan lagi semangat atlet-atlet yang berjuang untuk ke peringkat Malaysia (kebangsaan)," katanya.

Projek RTG diperkenalkan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) pada April lepas dianggap sebagai projek nasional dengan objektif untuk menyelaras usaha negara dalam memburu pingat emas sulung di Sukan Olimpik meliputi edisi Paris 2024 dan Los Angeles 2028.

Sebelum ini, KBS menetapkan dua kriteria utama bagi atlet tersenarai dalam RTG yang berpotensi menyumbang emas pertama negara di Sukan Olimpik adalah pemenang pingat temasya Sukan Olimpik Tokyo 2020 dan tersenarai dalam kedudukan 10 terbaik dunia.

Aniq sebelum ini satu-satunya 'muka baharu' diumumkan Jawatankuasa RTG yang dipengerusikan Menteri Belia dan Sukan yang tersenarai untuk RTG selepas menduduki tangga ke-10 dalam ranking Olimpik.

Kedudukan itu melayakkan Aniq berada dalam program kerana ranking 10 terbaik merupakan sebahagian daripada kriteria RTG.

Aniq kini giat melakukan persiapan untuk tiga lagi kejohanan kelayakan Olimpik di Kejohanan IWF Grandprix 2 bermula 4 hingga 14 Disember depan di Qatar; Kejohanan Angkat Berat Asia di Uzbekistan pada awal Februari 2024; dan Kejohanan Angkat Berat Dunia di Phuket, Thailand pada April 2024.

GRACE AISYAH KEDAYAN