(Mark Philippoussis (KIRI) bersama Stefanos Tsitsipas)
SYDNEY, 24 Mei- Mark Philippoussis tidak lagi membantu melatih pemain nombor lima dunia Stefanos Tsitsipas, sambil menyifatkan perpisahannya sebagai pengakhiran 'perjalanan yang hebat'.
Philippoussis menyertai bapa Tsitsipas, Apostolos dalam kotak jurulatih pada separuh kedua musim lalu dan membantu membimbing pemain Greece itu ke final Terbuka Australia.
Tsitsipas, yang ditewaskan pada perlawanan akhir oleh Novak Djokovic, sebelum ini memuji impak yang dibawa Philippoussis.
Tetapi Philippoussis berusia 46 tahun, bekas finalis Wimbledon dan Terbuka AS menulis di Instagram bahawa kerjasamanya dengan Tsitsipas sudah berakhir, beberapa hari sebelum Terbuka Perancis.
Bagaimanapun dia tidak memberitahu mengapa tindakan itu diambil.
"Terima kasih atas peluang menjadi sebahagian daripada pasukan anda," kata Philippoussis pada Selasa.
"Ia adalah satu perjalanan dan pengalaman yang hebat, dan saya berbangga dengan apa yang kami capai bersama dalam masa singkat yang kami ada.
"Saya mendoakan kesihatan, kebahagiaan dan kejayaan untuk masa depan anda, dalam dan di luar gelanggang!"
Bapa Tsitsipas kekal sebagai jurulatih utamanya.-AFP
(Mark Philippoussis (KIRI) ketika sesi latihan dengan Stefanos Tsitsipas)