fb fb fb fb fb

1,688 kontinjen negara sertai Sukan Sea Thailand 2025

Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Adam Adli

KUALA LUMPUR, 13 November — Seramai 1,688 anggota kontinjen Malaysia akan menyertai Temasya Sukan SEA Thailand 2025 dari 9 hingga 20 Disember depan.

Jumlah itu merangkumi 1,166 atlet dan 523 pegawai sekali gus menjadikannya penyertaan terbesar negara sejak Sukan SEA Singapura 2015.

Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Adam Adli berkata kontinjen negara bakal mengambil bahagian dalam 50 jenis sukan melibatkan 458 acara pada temasya kali ini.

“Bagi Sukan Para ASEAN Thailand 2025, kontinjen negara akan bertanding dalam 18 sukan membabitkan 275 acara, dengan penyertaan 238 atlet dan 120 pegawai, menjadikan keseluruhan 358 anggota kontinjen,” katanya ketika menjawab soalan Ahli Parlimen Jempol, Datuk Shamshulkahar Mohd Deli pada persidangan Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata angka itu juga merupakan penyertaan terbesar negara bagi edisi Sukan Para ASEAN.

Adam turut memaklumkan bahawa 12 atlet Program Road To Gold (RTG) akan mewakili Malaysia dalam acara badminton, angkat berat dan memanah pada Sukan SEA 2025.

Menurutnya, Kementerian Belia dan Sukan (KBS) melalui Majlis Sukan Negara (MSN) telah memulakan persiapan sejak awal tahun, dengan memberi tumpuan kepada atlet Podium, Podium Berfasa dan Pelapis.

Temasya Sukan Para ASEAN Thailand 2025 pula dijadual berlangsung dari 20 hingga 26 Januari 2026, melibatkan 19 jenis sukan dan 559 acara keseluruhan.

Kontinjen Malaysia akan menyertai 18 sukan dengan 275 acara, melibatkan 238 atlet dan 120 pegawai.

GRACE AISYAH KEDAYAN