fb fb fb fb fb

KLTRIC 2025 kembali, dijangka tarik penyertaan 1,500 pelari

Majlis Pelancaran Tower Run International Challenge 2025 (KLTRIC2025)

KUALA LUMPUR, 13 November- Kuala Lumpur Tower Run International Challenge 2025 (KLTRIC 2025) kembali sebagai Kejohanan Rasmi Kebangsaan (Towerrunning Malaysia) dengan dijadual berlangsung pada Ahad, 30 November 2025 bermula pukul 5.00 pagi.

Acara yang memasuki edisi ke-23 itu mengangkat tema “Victory is Vertical", dijangka menarik penyertaan 1,500 pelari tempatan dan antarabangsa untuk menakluki 1,608 anak tangga setinggi 292 meter di Kuala Lumpur Tower.

Ketua Pegawai Eksekutif LSH Service Master, Khairil Faizal Othman berharap kejohanan yang semakin popular itu akan terus dijalankan di menara berkenaan dengan sokongan Persatuan Towerrunning Malaysia (MTA) dan rakan strategik.

"Jelas sekali, kita dapat melihat sukan ini semakin popular. Saya telah berbincang dengan MTA (Malaysian Tower Association) mengenai penganjuran sekurang-kurangnya satu acara tower run setiap bulan."

"Namun demikian, kami ingin meneruskan acara di Menara Kuala Lumpur ini kerana ia merupakan acara terulung yang pertama kali diadakan. Justeru, kami berharap untuk terus mendapatkan sokongan daripada MTA dan rakan kerjasama kami," kata Khairil kepada pemberita, hari ini.

Beliau menyatakan perkara berkenaan dalam satu sidang media selepas Majlis Pelancaran Tower Run International Challenge 2025 (KLTRIC2025) di ibu negara.

KLTRIC2025 bukan sahaja menguji ketahanan fizikal peserta, malah menjadi platform memperkukuh industri sukan prestasi tinggi negara, memupuk gaya hidup sihat dan menyemai semangat perpaduan melalui penglibatan komuniti.

Acara tersebut turut diperakui sebagai World Championship Points Race di bawah Towerrunning World Association (TWA), membolehkan pelari elit antarabangsa bersaing mengumpul mata bagi kedudukan dunia.

Antara peserta elit yang bakal menyertai edisi kali ini ialah juara dunia dan pelari tangga nombor satu dunia, Soh Wai Ching, menjadikan KLTRIC2025 antara edisi paling kompetitif dalam sejarah.

Kejohanan itu terus memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai destinasi pelancongan sukan global sambil meraikan semangat juang dan kebanggaan negara.

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM