fb fb fb fb fb

Masters Kumamoto: Sze Fei-Izzudin ke suku akhir, bangkit benam tuan rumah

Foto FB BWF

KUALA LUMPUR, 13 November- Beregu lelaki negara, Goh Sze Fei dan Nur Izzuddin Mohd Rumsani dipaksa berhempas pulas sebelum menempah slot ke suku akhir Masters Jepun 2025, hari ini.

Pasangan pilihan kedua kejohanan itu menundukkan beregu tuan rumah, Keiichiro Matsui-Katsuki Tamate dalam pertarungan tiga set 21-23, 21-13, 26-24 pada aksi pusingan kedua di Gimnasium Wilayah Kumamoto.

Perlawanan yang berlangsung selama 65 minit itu menyaksikan gandingan profesional negara bangkit selepas tewas pada set pertama untuk memastikan kemaraan ke peringkat lapan terbaik.

Sze Fei-Nur Izzuddin dijadual berdepan beregu Taiwan, Lee Jhe-Huei-Yang Po-Hsuan pada pusingan suku akhir, esok.

Turut mengikut jejak langkah sama ialah pasangan muda negara, Wan Arif Wan Junaidi-Yap Roy King yang mengetepikan cabaran gandingan Jepun, Takumi Nomura-Yuichi Shimogami 21-11, 21-19 untuk menempah pertemuan menentang satu lagi wakil tuan rumah, Hiroki Midorikawa-Kyohei Yamashita.

Sementara itu, satu lagi beregu lelaki negara, Choong Hon Jian-Muhammad Haikal Nazri turut mara selepas menewaskan pasangan Taiwan, Liu Kuang Heng-Yang Po Han 14-21, 21-17, 21-19 dan bakal bertemu Chiu Hsiang Chieh-Wang Chi-Lin dari Taiwan pada suku akhir.

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM