fb fb fb fb fb

Pestabola Merdeka: Faizal mahu kekal fokus di final

(FOTO RTM)

BUKIT JALIL, 14 Oktober- Ketua Jurulatih Harimau Malaya Kim Pan Gon memuji aksi anak buahnya yang bersemangat menjaringkan gol malam tadi.

Namun beliau khuatir dengan kelekaan sesekali yang boleh membuka ruang kepada lawan untuk menjaringkan gol.

Ujarnya, benteng pertahanan Harimau Malaya perlu diperkuat menjelang aksi final.

Sementara itu, pemain sensasi pasukan kebangsaan, Faisal Halim mahu kekal fokus menjelang perlawanan akhir Pestabola Merdeka 2023 menentang Tajikistan selasa nanti.

"Pada saya perlawanan akhir nanti menentang Tajikistan bukan satu perlawanan balas dendam, tapi untuk kita perkukuhkan lagi pasukan.

"Jadi, saya juga berharap pada perlawanan akhir nanti kesemua pemain berada dalam tahap terbaik dan semuanya berjalan lancar mengikut taktikal ketua jurulatih", kata Faizal yang ditemui media selepas perlawanan menentang India di sini.

Kali terakhir Malaysia bertemu Tajikistan adalah pada perlawanan akhir King's Cup di Thailand tahun lalu dengan Tajikistan muncul juara selepas mengalahkan Harimau Malaya 3-0 dalam penentuan sepakan penalti.

Dalam pada itu, pengendali 'The Blue Tigers', Igor Stimac meluahkan rasa kurang senangnya berkaitan lokasi penginapan pasukan yang jauh serta kondisi padang yang kurang sesuai.

"Kami (India) tidak diberikan padang yang baik untuk berlatih. Kami harus menempuhi perjalanan sejauh sejam setengah setiap hari untuk ke padang latihan.

"Selain itu, lokasi padang latihan juga berubah-ubah setiap hari. Ini tidak sepatutnya berlaku kepada kejohanan yang baik seperti ini", kata Stimac pada sidang media selepas perlawanan menentang Malaysia yang menyaksikan pasukannya tewas 4-2.


(FOTO FB audisabri.tja)

Media Baharu