fb fb fb fb fb

Harimau Malaya ke final Pestabola Merdeka selepas baham India

(Pemain Malaysia Arif Aiman (kiri) diasak tiga pemain India pada perlawanan Pestabola Merdeka 2023
di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) malam tadi/FOTO BERNAMA)

KUALA LUMPUR, 14 Oktober - Harimau Malaya berjaya mempamerkan taring sebenar dan hanya selangkah daripada merangkul gelaran ke-13 Pestabola Merdeka dengan mengejutkan India, 4-2, dalam aksi edisi 2023 di di Stadium Nasional Bukit Jalil, di sini, malam tadi.

Harimau Malaya, yang menghuni ranking ke-134 dunia jelas dapat menyaingi kekuatan India (102) dengan menyajikan permainan menghiburkan dalam perlawanan berlangsung di atas permukaan padang baharu ‘Zeon Zoysia’.

Skuad bimbingan Kim Pan Gon akan mengharungi aksi final di venue sama, Selasa ini, menentang Tajikistan yang menerima ‘bye bagi perlawanan pertama susulan penarikan diri Palestin pada saat akhir.

Pada perlawanan malam ini di hadapan 46,150 penonton menyaksikan pasukan pelawat, The Blue Tigers, terlebih dahulu melaungkan amaran awal dengan percubaan pemain tengah, Naorem Mahesh Singh singgah di palang gol pada minit kedua.

Tidak lama selepas itu, Dion Cools menggamatkan gelanggang keramat Harimau Malaya apabila tonggak pertahanan kacukan Malaysia-Belgiumitu menyambut tandukan Nooa Lane, sebelum melayangkan badannya dan melepaskan sepakan untuk meletakkan mereka di depan pada minit keenam.

Kelebihan dimiliki Malaysia hanya bertahan tujuh minit apabila hasil serangan balas India menyaksikan mereka menyamakan kedudukan menerusi sepakan voli, Naorem, yang gagal ditangkas kemas penjaga gol Ahmad Syihan Hazmi Mohamed.

(Barisan pemain kesebelasan utama Malaysia bagi menentang India pada perlawanan 
Pestabola Merdeka 2023di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ)
malam Jumaat/FOTO BERNAMA)

Pasukan negara kembali berada di depan apabila pemain sayap sensasi, Arif Aiman Mohd Hanapi tenang menyempurnakan sepakan penalti pada minit ke-20 selepas pemain pertahanan lawan, Nikhil Chandrashekhar Poojary menjatuhkan penyerang Darren Lok.

Harimau Malaya terus mengaum dengan pemain sayap kanan, Mohamad Faisal Abdul Halim mudah menyumbat masuk gol ketiga selepas memanfaatkan kesilapan pemain pertahanan India, Mehtab Singh pada minit ke-42, sekali gus meletakkan Malaysia selesa menuju ke bilik persalinan.

Bersambung babak kedua, India yang memperkemaskan permainan merapatkan jurang dengan ayam tambatan yang juga ketua pasukan, Sunil Chhetri, mudah menolak masuk hantaran dari sebelah kanan Lallianzuala Chhangte pada minit ke-52.

Kontroversi kemudian tercetus apabila jaringan penyamaan pasukan bimbingan Igor Stimac oleh Lallianzuala dinafikan pengadil Mongkolchai Pechsri dari Thailand walaupun bola melintasi garisan gol sebelum dikeluarkan Cools pada minit ke-56.

Bagaimanapun, Malaysia kembali menarik nafas lega dengan sepakan kaki kanan pemain pertahanan kiri, Corbin Ong, berjaya menghasilkan jaringan keempat, berpunca daripada hantaran sebelah kanan oleh Mohamad Faisal pada minit ke-61.

Lallianzuala sekali lagi hampir mencemaskan pintu gawang Malaysia apabila percubaannya pada minit ke-68 hanya menggegar palang gol manakala sepakan jarak jauh pemain gantian, Liston Colaco pada minit ke-87 ditangkap Ahmad Syihan sekali gus mengesahkan tiket ke final. - BERNAMA

Media Baharu