fb fb fb fb fb

PESAKA sahkan bakal anjur Kejuaraan Pencak Silat Dunia edisi ke-20

(Presiden PESAKA, Datuk Megat Zulkarnain Omardin ditemui media selepas Majlis Iftar Ramadhan, Tahlil dan Sumbangan Hari Raya Aidilfitri di Kompleks Lincah Mahaguru Omardin) 

GOMBAK, 16 April - Selepas tertunda beberapa kali, Persekutuan Silat Kebangsaan Malaysia (PESAKA) mengesahkan Kejuaraan Pencak Silat Dunia edisi ke-20 bakal dilangsungkan di Melaka dari 21 hingga 29 Julai tahun ini.

Presiden PESAKA, Datuk Megat Zulkarnain Omardin memaklumkan sebanyak 32 negara sudah mengesahkan penyertaan yang kebanyakannya datang dari negara Asia Barat, Asia Tengah dan Asia Timur.

Menurut beliau, Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) akan menjadi lokasi kejohanan yang turut menjadi pentas Festival Silat Seni Antarabangsa.

"Saya terkejut melihatkan negara-negara baharu menghantar jumlah atlet yang cukup ramai untuk pasukan penuh seperti India, Pakistan, Kazakstan, Uzbekistan, semua pasukan penuh malahan Uzbekistan telah memohon untuk berlatih disini selama sebulan, Kejuaraan Pencak Silat Dunia bermula ini merupakan satu petanda baik kepada pembangunan dan perkembangan sukan silat," kata beliau ketika ditemui selepas Majlis Iftar Ramadhan, Tahlil dan Sumbangan Hari Raya Aidilfitri di Kompleks Lincah Mahaguru Omardin, di sini.

Mengikut perancangan asal, kejohanan dunia berkenaan sepatutnya diadakan di negeri Sarawak dua tahun lepas.

Namun faktor kos yang terpaksa dikeluarkan oleh negara peserta selain logistik dan kesan pandemik COVID-19, pemilihan negeri Melaka lebih realistik.


(Foto fail)

Turut hadir pada majlis berkenaan Penasihat Seumur Hidup PESAKA, Tuan Yang Terutama Tun Seri Setia (Dr.) Mohd Ali Mohd Rustam yang juga Yang di-Pertua Negeri Melaka, dan Ketua Kontinjen (CDM) Malaysia ke Sukan SEA Hanoi, Datuk Nur Azmi Ahmad.

Sementara itu, sempena berlangsungnya Kejuaraan Pencak Silat Dunia edisi ke-20 di Melaka, PESAKA juga akan menganjurkan Festival Silat Seni Antarabangsa dari 21 hingga 24 Julai nanti.

"Yang ini penting ini adalah untuk memenuhi apa yang telah diluluskan oleh UNESCO bahawa silat Malaysia merupakan warisan tidak ketara dunia milik negara kita, jadi untuk memastikan pengiktirafan UNESCO masih lagi kekal maka kita telah bersetuju untuk mengadakan Festival Silat Seni Antarabangsa yang bermula 21 hingga 24 Julai, ini adalah penting untuk kita selain mempromosikan sukan silat, yang penting silat adalah sebagai salah satu daripada elemen seni budaya yang dapat kita pertahankan," kata Megat Zulkarnain.

Pada tahun 2019, seni mempertahankan diri silat berjaya disenaraikan di bawah kategori 'Representative List Of The Intangible Cultural Heritage Of Humanity' oleh Pertubuhan Pendidikan, Kebudayaan dan Saintifik Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO).

Pengiktirafan itu diberikan pada Persidangan Mesyuarat Sesi Ke-14 'Intergovernmental Committee For The Safeguarding Of Intangible Cultural Heritage' yang berlangsung di Bogota, Colombia dari 9 hingga 14 Disember.

Media Baharu