fb fb fb fb fb

Pertahanan Uruguay meninggal dunia selepas rebah di padang

JUAN Izquierdo ketika menerima rawatan di atas padang selepas rebah secara tiba-tiba/Foto REUTERS

SAO PAULO, 29 Ogos- Bola sepak Amerika Selatan dilanda kesuraman pada Selasa berikutan kematian pemain pertahanan Uruguay,Juan Izquierdo yang rebah di padang selepas mengalami serangan jantung ketika beraksi pada Copa Libertadores minggu lalu.

Pemain berusia 27 tahun itu telah menjalani pemeriksaan perubatan sejak rebah pada perlawanan menentang Sao Paulo pada 22 Ogos lalu.

Izquierdo tiba-tiba rebah dan tidak sedarkan diri pada minit ke-84 sebelum dikejarkan ke pusat rawatan insentif di Hospital Albert Einstein.

Pihak hospital dalam kenyataan memaklumkan Izquierdo meninggal dunia akibat kematian otak berikutan serangan jantung yang berkaitan dengan aritmia jantung.

"Dengan rasa kesedihan dan kejutan yang mendalam di hati kami, Club Nacional mengumumkan kematian pemain kesayangan kami, Juan Izquierdo," tulis kelab berkenaan di X.

"Kami mengucapkan takziah yang paling ikhlas kepada keluarga, rakan-rakan, rakan sekerja, dan orang tersayangnya.

"Seluruh Nacional sedang berkabung atas kehilangan yang tidak terduga ini", tambah kenyataan itu lagi.

Sementara itu, Persatuan Bola Sepak Amerika Selatan (CONMEBOL) turut mengucapkan ucapan takziah kepada ahli keluarga dan rakan-rakan Izquierdo.

"Bola sepak Amerika Selatan sedang berkabung," kata Alejandro Dominguez, Presiden badan bola sepak Amerika Selatan, CONMEBOL.

Dalam pada itu, Presiden Persekutuan Bola Sepak Brazil, Ednaldo Rodrigues, berkata pihaknya akan mengadakan majlis satu minit bertafakur dalam setiap perlawanan yang dianjurkan oleh persekutuan tersebut pada Rabu.-REUTERS

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD