PUTRAJAYA, 12 Oktober – Kementerian Belia dan Sukan (KBS) kini giat melaksanakan persiapan rapi bagi memastikan kontinjen negara berada pada tahap terbaik menjelang Sukan SEA 2025 di Thailand yang akan berlangsung pada Disember depan.
Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh berkata segala persediaan diselaras oleh Majlis Sukan Negara (MSN) dengan pemantauan berterusan oleh Ketua Kontinjen (CDM), Nurul Huda Abdullah, yang turut mengadakan lawatan ke kem-kem latihan atlet.
“Untuk Sukan SEA Disember nanti, Majlis Sukan Negara (MSN) sudah membuat persiapan sekarang ini. Chief De Mission (CDM) iaitu Nurul Huda sedang melawat kem-kem latihan untuk pastikan semua teratur dan kita ada satu CDM dan dua Timbalan untuk membantu kerana kontinjen besar ,” katanya selepas merasmikan Konvensyen Beliawanis India Malaysia 2025, hari ini.
Beliau turut berharap semua atlet negara kekal sihat dan bebas daripada kecederaan serius bagi memastikan mereka dapat beraksi dengan baik di temasya dwitahunan itu.
Sukan SEA 2025 akan berlangsung dari 9 hingga 20 Disember di tiga wilayah utama Thailand iaitu Bangkok, Chonburi dan Songkhla.
Dalam pada itu, Hannah berkata konvensyen Beliawanis India berperanan membuka lebih banyak peluang kepada wanita muda India untuk menceburi pelbagai bidang termasuk kepimpinan, sukan dan perkhidmatan awam.
Seramai lebih 500 wanita muda India dari seluruh negara menyertai konvensyen yang dianjurkan oleh Majlis Belia India Malaysia (MIYC) dengan kerjasama KBS, bagi memperkasakan belia wanita melalui ilmu, kemahiran kepimpinan dan jaringan strategik.