fb fb fb fb fb

UAE hampiri Piala Dunia 2026

FOTO REUTERS

DOHA, 12 Oktober - Emiriah Arab Bersatu (UAE) mencatat kemenangan dramatik 2-1 ke atas Oman dalam saingan Kelayakan Piala Dunia 2026 Zon Asia di Stadium Thani bin Jassim, Doha, malam tadi, hasil jaringan lewat Marcus Meloni dan Caio Lucas.

Skuad bimbingan Cosmin Olaroiu itu bangkit daripada ketinggalan selepas pertahanan UAE, Kouame Kouadio, menjaringkan gol sendiri pada minit ke-12 untuk memberikan pendahuluan buat anak buah Carlos Queiroz.

Gol penyamaan UAE hadir pada minit ke-76 apabila Marcus Meloni menanduk masuk hantaran lintang pemain gantian Ali Saleh.

Berselang tujuh minit kemudian, Caio Lucas memastikan kemenangan buat UAE selepas percubaannya dari sebelah kiri melantun sebelum melepasi jangkauan penjaga gol Oman, Ibrahim Al-Mukhaini.

Kemenangan itu meletakkan UAE di ambang penampilan pertama mereka di Piala Dunia sejak edisi 1990.

Pasukan itu kini hanya memerlukan satu mata pada Selasa untuk muncul juara Kumpulan A dalam pusingan keempat kelayakan Asia.

Terdahulu, Oman bermula cemerlang apabila Issam Al-Sabhi hampir membuka jaringan, namun percubaannya disekat pertahanan UAE.

Beberapa minit kemudian, hantaran silang Ali Al-Busaidi disambar Amjad Al-Harthi sebelum bola terkena kaki Kouadio lalu menewaskan penjaga gol Khalid Eissa.

Kemasukan Harib Abdalla pada babak kedua menubah corak serangan UAE apabila dua percubaannya berjaya diselamatkan oleh Al-Mukhaini.

Namun, tekanan demi tekanan oleh UAE akhirnya membuahkan hasil menerusi dua jaringan pada lewat permainan.

Kekalahan itu menamatkan peluang Oman untuk layak secara automatik, namun mereka masih berpeluang mara ke pusingan play-off sekiranya UAE menewaskan Qatar dengan jaringan besar.

Setakat ini, enam pasukan Asia sudah pun mengesahkan tempat ke Piala Dunia 2026 iaitu Jepun, Korea Selatan, Australia, Iran, Uzbekistan dan Jordan. - REUTERS

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD