fb fb fb fb fb

Kidslympic Malaysia berpotensi jadi acara tahunan

Pengasas bersama Sukan Kidslympic, Goh Liu Ying/FOTO RTM

KUALA LUMPUR, 12 Oktober - Sukan Kidslympic Malaysia berpotensi dijadikan acara tahunan susulan sambutan menggalakkan yang diterima dalam usaha melahirkan bakat-bakat baharu dalam bidang sukan.

Pengasas bersama Sukan Kidslympic, Goh Liu Ying berkata, peningkatan memberangsangkan jumlah peserta berbanding lebih 1,000 orang pada penganjuran terdahulu adalah hasil usaha memperluaskan promosi ke sekolah serta pelbagai negeri.

"Sambutan yang sangat positif tahun ini menunjukkan kesedaran ibu bapa terhadap kepentingan aktiviti sukan sejak usia muda semakin meningkat. Kami juga telah memperkenalkan acara larian di beberapa negeri sebagai sebahagian daripada usaha memperluaskan program ini," katanya ketika ditemui pada acara kemuncak Kidslympic Games 2025 di sini hari ini.

Edisi tahun ini menyaksikan penyertaan lebih 3,000 peserta berumur antara empat hingga 12 tahun, melibatkan enam jenis sukan iaitu olahraga, bola sepak, bola keranjang, bola tampar, gimnastik dan cabaran halangan.

Sementara itu, Setiausaha Bahagian Pembangunan, Kementerian Belia dan Sukan (KBS), Amir Hamzah Awang Ghazali berkata, pihaknya menyokong penuh usaha terhadap penganjuran Kidslympic Malaysia.

"kami harap ia bukan hanya program secara one off tetapi akan menjadi satu budaya. Ia bukan hanya untuk persatuan, tetapi pihak lain juga menganjurkan program sebegini," katanya.

Terdahulu, program sukan tersebut telah menerima geran padanan sukan sebanyak RM 60,000 daripada Kementerian Belia dan Sukan.

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD