KAJANG, 12 Oktober - RHB LEKAS Highway Ride 2025 edisi ke-10 mencatat penyertaan seramai 6,017 pelumba dari 23 negara, sekali gus menjadikannya antara acara kayuhan terbesar di negara ini.
Pengarah Urusan merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan RHB, Datuk Mohd Rashid Mohamad, berkata penganjuran kali ini menjadi pencapaian penting selepas sedekad penganjuran acara berbasikal di lebuh raya itu.
"RHB LEKAS Highway Ride bukan sekadar perlumbaan, tapi juga platform menyatukan komuniti, memupuk gaya hidup sihat dan mencipta kenangan bersama," katanya pada acara RHB LEKAS Highway Ride 2025 di sini semalam.
Ketua Pegawai Eksekutif IJM Corporation Berhad, Datuk Lee Chun Fai, pula menyifatkan acara itu sebagai tradisi bermakna yang menyatukan pelumba dari pelbagai lapisan masyarakat.
Kayuhan malam itu bermula di Plaza Tol Kajang Selatan pada jam 7.45 malam, dan melalui laluan Lebuhraya LEKAS E21 yang ditutup sepenuhnya kepada kenderaan bagi memastikan keselamatan peserta.
Sejak 2022, program berbasikal itu telah menarik lebih 5,000 peserta setiap tahun.
Malah pada 2024, ia mencatat dua rekod Malaysia Book of Records "Longest Distance on a Closed Highway (105 km)" dan "Largest Participation in a Highway Night Cycling Event".
Edisi kali ini menampilkan beberapa kategori kayuhan termasuk Kayuhan Kompetitif 105 km, Kayuhan 78 km, Kayuhan Terbuka 17 km, serta Kayuhan Remaja 17 km dan 12 km, meliputi laluan antara Kajang dan Paroi, Negeri Sembilan.
