fb fb fb fb fb

Persahabatan: Speedy Tigers uji New Zealand

Foto FB MalaysianHockeyConfederation

KUALA LUMPUR, 21 Mac -Kekuatan skuad hoki kebangsaan yang kini berwajah baharu bakal diuji menerusi aksi persahabatan menentang New Zealand pada 1 Mei ini.

Menurut Ketua Jurulatih, Sarjit Singh, perlawanan itu juga adalah sebahagian persiapan pasukan menghadapi Piala Sultan Azlan Shah pada 4 hingga 11 Mei di Ipoh.

Sarjit turut memaklumkan pasukannya juga akan cuba aturkan perlawanan menentang Pakistan.

Pada hari pertama sesi latihan skuad Speedy Tigers di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil semalam (Rabu), Sarjit memaklumkan 42 pemain telah melaporkan diri.

Empat pemain tidak dapat melaporkan diri atas sebab peribadi dan kecederaan.

Dalam pada itu, tonggak tengah skuad hoki negara Mohd Fitri Saari berharap pemain muda yang diberi peluang beraksi bersama Speedy Tigers akan cepat matang dalam mengharungi perlawanan antarabangsa pada masa depan.

Jelas beliau, pemain muda harus bijak mengatasi tekanan ketika bertemu pasukan antarabangsa.

Ia memandangkan skuad senior lelaki kebangsaan yang akan ditubuhkan ini, merupakan projek jangka masa panjang menjelang Sukan Asia 2026 dan Sukan Olimpik Los Angeles 2028.

Sementara itu, beliau yang merupakan antara pemain veteran dalam pasukan, percaya dengan percaturan jurulatih Sarjit Singh apabila hanya menempatkan lima orang pemain senior dalam skuad itu.

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD