MIAMI, 19 Disember- Bintang Argentina, Lionel Messi dijangka bakal disenaraikan pada pertemuan menentang kelab zaman remaja, Newell's Old Boys selepas kelab Amerika Selatan itu bersetuju bermain pada perlawanan persahabatan pra-musim pada Februari.
Dalam satu kenyataan yang diumumkan Inter Miami pada Isnin, Kelab tersebut akan menjadi tuan rumah pada perlawanan yang akan diadakan di stadium DRV PNK pada 15 Februari.
Kelab Newell's yang berpengkalan di bandar Rosario, merupakan tempat di mana Messi dilahir dan dibesarkan.
Messi bermain buat kelab remaja Newell's sebelum berkelana ke kelab Sepanyol, Barcelona pada usia 13 tahun.
Jurulatih Inter Miami, 'Tata' Martino juga berasal adari bandar yang sama dan pernah bermain buat Newell's selama tiga musim sebelum menjadi jurulatih kelab berkenaan pada 2012.
"Saya sangat teruja untuk mengalu-alukan kelab yang dicintai, Newell's bermain di sini (Miami).
"Perlawanan tersebut akan menjadi perlawanan istimewa memandangkan Newell's sangat dekat di hati saya", kata Martino.
"Ini juga merupakan peluang terbaik buat Inter Miami bagi mempersiapkan diri melalui musim yang mengujakan", tambah Martino.
Perlawanan terbaharu itu merupakan sebahagian daripada jadual pra musim yang sibuk buat Inter Miami yang akan berdepan pasukan kebangsaan El Salvador pada 19 Januari.
Kelab itu kemudiannya akan bermain dua perlawanan persahabatan di Arab Saudi, termasuk menentang Al Nassr yang diketuai Cristiano Ronaldo sebelum meneruskan perlawanan pra musim di Hong Kong dan Tokyo.-AFP