fb fb fb fb fb

KBS selesai buat pascanilai isu kerosakan padang SNBJ- Hannah

Hannah menyampaikan ucapan pada majlis penyerahan Pusat Latihan Skuasy Kedah kepada Kerajaan Negeri di Stadium Sultan Abdul Halim, hari ini.

ALOR SETAR, 18 Disember- Kementerian Belia dan Sukan (KBS) telah selesai melakukan pascanilai berhubung keadaan padang Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ), yang sebelum ini dilaporkan rosak termasuk ketika aksi final Piala Malaysia, 8 Disember lalu.

Menterinya, Hannah Yeoh berkata Perbadanan Stadium Malaysia (PSM) telah menjalankan siasatan berhubung perkara itu, untuk mengelakkan situasi sama berulang pada masa akan datang.

“Post mortem telah selesai di peringkat KBS pada minggu lepas seperti yang kita janjikan, cuma laporan tersebut perlu dibentangkan untuk lembaga pengarah PSM dahulu.

“Sekarang sudah hujung tahun dan mesyuarat lembaga pengarah PSM akan dijadualkan awal Januari, untuk lembaga pengarah terima keputusan dan kita akan mengambil langkah penambahbaikan,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Tambahnya laporan isu itu tidak akan didedahkan kepada umum,kerana melibatkan siasatan dalaman yang dilakukan KBS dan PSM untuk mengelakkan isu berkenaan berulang.

Isu padang SNBJ yang rosak sebelum ini menjadi kritikan hangat peminat bola sepak tanah air yang dikatakan berpunca selepas penganjuran konsert kumpulan terkemuka, Coldplay di venue tersebut pada 22 November lalu.

Sementara itu, mengulas mengenai Tan Sri Norza Zakaria yang kekal memimpin Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Hannah berkata ia bagi memastikan BAM untuk fokus kepada persiapan menerusi program Road to Gold (RTG), yang diperkenalkan dalam usaha memenangi pingat emas pertama Malaysia dalam Sukan Olimpik.

“Perancangan RTG untuk tahun depan, bulan Januari masuk sahaja kita boleh teruskan dengan persiapan untuk Sukan Olimpik nanti iaitu Paris 2024, sekarang ini proses untuk pemain badminton ialah melayakkan diri dalam Sukan Olimpik,” katanya.

Terdahulu, Hannah hadir ke majlis penyerahan Pusat Latihan Skuasy Negeri Kedah kepada kerajaan Kedah.

Pembinaan pusat tersebut yang membabitkan kos sebanyak RM10.8 juta di bawah Rancangan Malaysia Ke-11 dan Ke-12, siap sepenuhnya pada 20 Ogos.

Ia dilengkapi kemudahan lapan gelanggang, astaka penonton, bilik persalinan, surau, bilik jurulatih, bilik teknikal dan bilik sokongan.

ZEHRA BINTI ZAMBRI