fb fb fb fb fb

Kejohanan Piala Kelab Dunia: Fluminense mara ke final

Para pemain Fluminense meraikan kejayaan mara ke final Kejohanan Piala Kelab Dunia/ FOTO REUTERS

JEDDAH,19 Disember - Dua jaringan pada babak kedua membolehkan wakil Brazil, Fluminense menewaskan kelab Mesir, Al-Ahly 2-0 pada perlawanan separuh akhir Piala Kelab Dunia di Stadium Raja Abdullah pada Isnin.

Pada pertemuan tersebut, Fluminense dilihat mendominasi perlawanan, namun Al-Ahly kerapkali mencemaskan kubu pertahanan Fluminense dengan melancarkan serangan balas.

Juara Afrika itu, mensia-siakan peluang bagi menjaringkan gol menerusi Kahraba dan Percy Tau pada separuh masa pertama.

Bersambung babak kedua, Fluminense memecahkan kebuntuan pada minit ke-71 selepas dianugerahkan sepakan penalti selepas pertahanan, Marcelo dijatuhkan dalam kotak penalti.

Jhon Arias memanfatkan sepakan penalti tersebut bagi meletakkan Fluminense di hadapan.

Al-Ahly terlepas peluang bagi menyamakan kedudukan seminit selepas itu menyaksikan tandukan Tau terus ke dakapan penjaga gol Fluminense.

Serangan bertubi-tubi Al-Ahly ke kubu Fluminense membawa padah kepada pasukan tersebut apabila Fluminense mendapatkan gol kemenangan pada minit ke-89 menerusi John Kennedy hasil serang balas.

Kemenangan tersebut membolehkan Fluminense bertemu dengan pemenang di antara Manchester City dan Urawa Reds pada satu lagi perlawanan separuh akhir.

Perlawanan akhir Piala Kelab dunia akan diadakan pada Jumaat di Jeddah.-REUTERS

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD