fb fb fb fb fb

Persahabatan Euro 2024: Turkiye malukan Jerman

FOTO FB GermanFootballMTL

BERLIN, 19 November - Turkiye mencipta kejutan apabila menewaskan tuan rumah Euro 2024, Jerman 3-2 di laman lawan, sekali gus memberi kekalahan pertama buat pengendali pasukan itu Julian Nagelsmann.

Pasukan Jerman yang sedang bersiap sedia bagi menghadapi kejohanan berkenaan tahun hadapan perlu segera memperbaiki kelemahan terutamanya di bahagian pertahanan yang menjadi kelemahan utama pasukan berkenaan.

Beraksi di stadium Olimpik, pasukan Turkiye yang telah mengesahkan tempat pada Euro 2024 dilihat lebih garang di hadapan penyokong tuan rumah. Sementara itu, tuan rumah gagal memanfaatkan kelebihan beraksi di laman sendiri biar pun kerap kali melakukan serangan ke pintu gol Turki.

Pasukan Jerman mendapat gol pembukaan menerusi Kai Havertz pada minit ke-5 menerusi umpanan Leroy Sane bagi memberikan keceriaan kepada 70,000 penyokong tuan rumah yang membanjiri stadium.

Kelebihan satu gol tersebut tidak bertahan lama apabila Turkiye menyamakan kedudukan menerusi Ferdi Kadioglu pada minit ke-38 yang berjaya melepaskan rembatan selepas mendapat umpanan dari Abdulkerim Bardakci pada minit ke-38.

Turkiye berjaya menjaringkan gol kedua menerusi rembatan pemain berusia 18 tahun, Kenan Yildiz pada penghujung separuh masa pertama bagi memberi kelebihan buat Turkiye sebelum rehat.

Bersambung babak kedua, Jerman menyamakan kedudukan 2-2 hasil rembatan rendah Niclas Fuellkrug yang berpunca daripada gerakan solo Florian Wirtz pada minit ke-49.

Turkiye mendapat gol kemenangan hasil sepakan penalti Yusuf Sari pada minit ke-70 selepas bola terkena tangan pemain Jerman, Kai Havertz di dalam kotak penalti.

Pasukan Jerman bakal bertemu Austria pada satu lagi perlawanan persahabatan pada Selasa ini.-REUTERS

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD