KUALA LUMPUR, 15 Januari- Pengarah Kejurulatihan Akademi Badminton Malaysia (ABM), Rexy Mainaky berkata prestasi keseluruhan pemain negara di Terbuka Malaysia 2024 bermula positif meskipun sekadar mengakhiri saingan di peringkat suku akhir.
Rexy mengakui sandaran negara yang kini berada dalam misi merebut slot ke temasya Olimpik Paris 2024 perlu segera bangkit memperbaiki prestasi.
"Mereka harus perbaiki dalam situasi apa sekali pun. Sekarang, mereka hanya terima kalau mereka dapat mata mudah atau bermain dalam rentak mereka. Mereka nampak sangat yakin dengan permainan itu."
Namun, apabila sudah serasi mereka pula terkesan dengan emosi dan mula panik. Kemudian, semua kombinasi dan taktikal tidak menjadi. Minda dan kekuatan tidak selari. Perkara itu harus diperbaiki cepat adaptasi permainan," kata Rexy kepada pemberita.
Bagaimanapun, Rexy tetap optimis dan menyifatkan Terbuka Malaysia selaku aksi pemanas badan bagi memulakan musim 2024.
Saingan edisi kali ini menyaksikan hanya dua wakil negara iaitu pasangan beregu, Aaron Chia-Soh Wooi Yik dan Ong Yew Sin-Teo Ee Yi lolos ke suku akhir.
Sandaran lain termasuk beregu wanita, Pearly Tan-M Thinaah dan beregu campuran, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei ditunjukkan jalan keluar masing-masing di pusingan pertama dan kedua.
Sementara itu, pemain perseorangan lelaki negara, Ng Tze Yong terpaksa menarik diri seawal pusingan pertama selepas mengalami kecederaan otot belakang.
Skuad negara akan menghadapi dua lagi kejohanan penting iaitu Terbuka India dari 16 hingga 21 Januari dan Masters Indonesia dari 23 hingga 28 Januari.