ANKARA, 2 Mac – Pengurus Fenerbahce, Jose Mourinho, menerima pengurangan hukuman penggantungan daripada empat perlawanan kepada dua selepas Persekutuan Bolasepak Turki (TFF) menyemak semula rayuan kelab itu.
Mourinho sebelum ini dikenakan hukuman penggantungan dan denda selepas mengkritik pengadil Turkiye dalam sidang media susulan keputusan seri 0-0 menentang seteru utama, Galatasaray, dalam aksi Super Lig pada Isnin lalu.
Jurulatih berusia 62 tahun dari Portugal pada mulanya dikenakan denda sebanyak 1.6 juta Lira Turkiye (AS$43,963.89), tetapi jumlah tersebut dikurangkan kepada 558,500 Lira selepas rayuan dibuat.
Menurut TFF, hukuman itu dikenakan berikutan "kenyataan menghina dan bersifat ofensif terhadap pengadil Turkiye" serta dakwaan bahawa terdapat kekacauan dalam bola sepak negsrs berkenaan.
Kenyataan Mourinho dikatakan melanggar etika sukan, mencetuskan provokasi serta berpotensi menyebabkan kekacauan dalam kalangan penyokong.
Perlawanan pada Isnin itu dikendalikan oleh pengadil Slovenia, Slavko Vincic, selepas kedua-dua kelab meminta agar perlawanan dikawal oleh pengadil asing.
Fenerbahce mengeluarkan kenyataan pada Selasa bagi mempertahankan Mourinho, dengan menyatakan bahawa kenyataannya telah disalah tafsir dan sengaja diputarbelitkan.
Sebelum ini, bekas pengurus Chelsea, Manchester United, dan Tottenham Hotspur itu beberapa kali didenda serta digantung akibat kenyataan kontroversi terhadap pengadil dalam bola sepak Turki.
Pada Jumaat, Fenerbahce turut mengumumkan bahawa Mourinho telah memfailkan saman terhadap Galatasaray selepas kelab itu menuduhnya mengeluarkan kenyataan berbaur perkauman.
Mourinho dijangka kembali membimbing pasukannya dalam aksi Super Lig menentang Samsunspor pada 16 Mac.
Ketika ini, Fenerbahce berada di tangga kedua liga, enam mata di belakang pendahulu, Galatasaray.-REUTERS.