fb fb fb fb fb

Perak FC guna stadium MPM untuk aksi Liga Super 2024/25

Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi, Belia dan Sukan Perak, Khairudin Abu Hanipah

IPOH, 24 Februari- Stadium Majlis Perbandaran Manjung (MPM) dijangka akan digunakan oleh pasukan Perak FC dalam aksi Liga Super 2024/2025 yang bermula Mei nanti.

Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi, Belia dan Sukan Perak, Khairudin Abu Hanipah berkata stadium tersebut akan digunakan sehingga kerja-kerja naik taraf sistem saliran dan rumput di Stadium Perak selesai.

Jelasnya, proses naik taraf hanya akan dimulakan selepas perbincangan mengenainya dilakukan bersama pihak Kementerian Belia dan Sukan (KBS), Isnin depan.

"Perkara ini masih dalam perbincangan lagi dan insya-Allah Isnin ini, saya bersama pihak KBS akan bermesyuarat."

"Salah satu agendanya adalah berkaitan dengan status penaiktarafan stadium ini termasuk daripada segi rumput, keperluan lain serta kita mendapatkan pandangan daripada pelbagai pihak antaranya Perak FC dalam merealisasikan kesempurnaan untuk Stadium Perak ini," kata Khairudin kepada pemberita pada Majlis Perasmian Penutup Seminar Fikrah Siddiq Fadzil Peringkat IPT Negeri Perak di Dewan Serbaguna UniKL RCMP, Ipoh.

Perak sebelum ini telah bersetuju untuk menerima tawaran geran RM500,000 daripada KBS untuk menaik taraf sistem saliran dan penanaman rumput baharu.

Perkara tersebut telah dipersetujui dalam Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) Negeri, bulan lalu.

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM