fb fb fb fb fb

Perak FA akan beraksi dalam Liga A1

Menteri Besar Datuk Seri Saarani Mohamad (tiga dari kanan) turut menyatakan sokongan terhadap usaha pembangunan semula bola sepak Perak - Foto Perak FA

IPOH, 4 Jun - Persatuan Bola Sepak Perak (PAFA) hari ini mengesahkan penyertaan rasminya dalam Liga A1 Semi-Pro musim 2025-2026 yang dijangka memulakan saingan Ogos ini.

Pengumuman itu dibuat Presiden PAFA Datuk Mohd Azhar Jamaluddin menerusi kenyataan di laman Facebook rasmi persatuan berkenaan.

Berita baik itu diumumkan selepas pihaknya mengadakan pertemuan dengan Menteri Besar Datuk Seri Saarani Mohamad semalam.

 

Perak FA berbincang hala tuju bola sepak negeri dengan Menteri Besar - FB Perak FA

Penyertaan itu antara langkah penting dalam fasa kebangkitan, pemulihan dan pembangunan semula bola sepak Perak.

Beliau berkata pasukan Perak akan terdiri daripada pemain skuad Sukan Malaysia (SUKMA) serta beberapa tonggak senior yang pernah beraksi di Liga Super.

“Menteri Besar turut menyatakan sokongan padu terhadap usaha Perak FA untuk kembali membina kekuatan dari bawah dan memberi peluang kepada bakat anak muda negeri untuk menyerlah di pentas yang lebih tinggi.

“Kembali kepada asas, itulah pesan beliau (Menteri Besar), agar Perak FA bermula semula dengan asas yang kukuh, tersusun dan berpaksikan kepada pembangunan anak jati negeri.

"Beliau juga menyambut baik usaha menyerap beberapa pemain senior dalam skuad Liga A1 bersama pemain SUKMA sebagai pendedahan buat barisan pemain muda," katanya.

Beliau turut berpesan supaya kita bermula dari asas yang kukuh, tersusun dan berpaksikan kepada pembangunan anak jati negeri,” katanya.

 

Tumpuan turut terhadap pembentukan semula pasukan pelapis. - FB Perak FA

Mohd Azhar berkata, selain aksi di Liga A1 Semi-Pro, perbincangan dengan Menteri Besar juga tertumpu kepada pembentukan semula pasukan pelapis negeri serta kejohanan liga di peringkat akar umbi.

“Antaranya pembentukan semula para pemain Piala Presiden dan Belia 2026, fokus kepada pembangunan pasukan SUKMA selain penganjuran liga peringkat negeri seperti Liga Perak Sejahtera 2030, Liga Kelab Amatur Negeri, Liga IPTA/IPTS Perak dan Liga Integriti Daerah (Bawah 17 Tahun),” katanya.

MUHAMMAD APENDY BIN ISSAHAK