JAKARTA, 4 Jun - Dua beregu utama negara membuka kempen Terbuka Indonesia 2025 dengan kemenangan meyakinkan, sekali gus meneruskan harapan Malaysia dalam kejohanan berstatus Jelajah Dunia Super 1000 itu.
Dalam aksi beregu campuran, pasangan pilihan keenam kejohanan, Goh Soon Huat dan Lai Shevon Jemie tampil cemerlang apabila menundukkan wakil Thailand, Phuwanat Horbanluekit dan Sapsiree Taerattanachai dalam tempoh hanya 31 minit.

Gandingan negara tidak berdepan masalah untuk mengawal permainan sejak awal set pertama dan meraih kemenangan 21-12, 21-16 bagi melangkah ke pusingan kedua.
Esok, mereka akan berdepan satu lagi ujian apabila dijadual bertemu pasangan tuan rumah, Amri Syahnawi dan Nita Violina Marwah bagi memburu slot ke suku akhir.

Sementara itu, Pearly Tan dan M. Thinaah turut melangkah bergaya selepas menewaskan pasangan Taiwan, Sung Shuo Yun dan Yu Chien Hui.
Meskipun bermula sedikit berhati-hati, Pearly-Thinaah berjaya menyesuaikan rentak untuk menang 21-16 di set pertama sebelum mengekalkan konsistensi dan menamatkan aksi set kedua dengan kemenangan 21-17.
Pasangan ranking ke-10 dunia itu hanya memerlukan 42 minit untuk mengesahkan kemaraan ke pusingan seterusnya.

Turut mara beregu wanita negara, Ong Xin Yee dan Carmen Ting yang menumpaskan gandingan tuan rumah Isyana Syahira Meida dan Rinjani Kwinara Nastine dengan keputusan 10-21, 21-14 dan 21-17.

Dalam pada itu, hasrat beregu nombor satu negara Aaron Chia dan Soh Wooi Yik untuk meneruskan prestasi cemerlang tidak kesampaian apabila kecundang kepada pasangan Denmark Rasmus Kjaer-Frederik Sogaard.
Mereka tumpas dalam pertarungan tiga set yang memakan masa hampir satu jam yang berkesudahan 21-13, 19-21, 21-18.