fb fb fb fb fb

Empat lagi pemain warisan perkuat Harimau Malaya

Empat lagi pemain warisan perkuat skuad Harimau Malaya - FB FAM

KUALA LUMPUR, 4 Jun - Menjelang aksi Kumpulan F Kelayakan Piala Asia 2027, skuad Harimau Malaya diperkuatkan dengan kemasukan empat lagi pemain warisan baharu negara.

Berita gembira itu dikongsikan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dalam satu kenyataan hari ini.

 

Penyerang kebangsaan, Rodrigo Holgado, 29 - FB FAM

FAM memaklumkan empat pemain itu ialah penyerang kelab America de Cali dari Colombia, iaitu Rodrigo Holgado; pemain pertahanan Sabah FC Jon Irazabal dari Azerbaijan; penyerang Velez Sarsfield dari Argentina, Imanol Machuca; dan penyerang kelab Turki Istanbul Basaksehir, Joao Figueiredo.

 

Pertahanan kebangsaan, Jon Irazabal, 28 - FB FAM

"Kesemua empat pemain ini telah beberapa hari menjalani sesi latihan bersama pasukan dan menunjukkan prestasi yang cukup membanggakan.

"Mereka sebagai pemain yang berkualiti, cukup bersedia untuk memperkukuh skuad negara demi merealisasikan impian seluruh rakyat Malaysia," menurut kenyataan itu.

 

Penyerang kebangsaan, Joao Figueiredo, 29 - FB FAM

Dalam kenyataan sama, Machuca, 25; Holgado, 29; Irazabal, 28; dan Figueiredo, 29, turut berkongsi keterujaan mereka menyarung jersi pasukan kebangsaan.

Skuad Harimau Malaya kini memiliki tujuh pemain warisan baharu dengan cabaran utama mereka adalah aksi menentang Vietnam di Stadium Nasional Bukit Jalil pada 10 Jun ini bagi Kelayakan Piala Asia 2027.

Malaysia dan Vietnam kini berkongsi kedudukan teratas Kumpulan F dengan tiga mata selepas masing-masing mencatat kemenangan dalam aksi pertama.

 

MUHAMMAD APENDY BIN ISSAHAK