PARIS, 5 Jun- Kejayaan menewaskan pemain ranking ketiga dunia, Alexander Zverev dalam pusingan suku akhir perseorangan lelaki Terbuka Perancis membuktikan kemampuan Novak Djokovic untuk bersaing di peringkat tertinggi.
Kemenangan 4-6, 6-3, 6-2, 6-4 Djokovic itu membolehkannya mara ke separuh akhir untuk bertemu pemain pilihan utama, Jannik Sinner yang menyingkirkan pemain bukan pilihan, Alexander Bublik dalam straight set.
Kemaraan pemain berusia 38 tahun dalam kelompok empat terakhir di Roland Garros juga membolehkannya semakin hampir mendapatkan rekod kejuaraan Grand Slam ke-25.
"Jannik berada dalam prestasi yang luar biasa. Dia telah menjadi pemain terbaik sejak beberapa tahun lalu.
"Sudah tentu ia akan menjadi separuh akhir Grand Slam menentang pemain nombor satu dunia. Tiada peluang yang lebih besar untuk saya, jadi saya akan cuba melakukan yang terbaik untuk meningkatkan aksi," kata Djokovic.
Bagaimanapun bekas pemain utama dunia itu berharap dapat memberikan saingan secara fizikal dan mengakui pertembungan tersebut merupakan cabaran besar buatnya.
Pertembungan antara Djokovic dengan Sinner dijadual berlangsung esok.
Sementara itu dalam saingan wanita, Lois Boisson dari Perancis mengejutkan pilihan keenam dari Rusia, Mirra Andreeva, 7-6, 6-3 di suku akhir.
Boisson akan bertemu pilihan kedua dari Amerika Syarikat, Coco Gauff, yang menewaskan rakan senegara Madison Keys, 6-7, 6-4, 6-1. -AFP