JAKARTA, 5 Jun- Indonesia akan mendapat keputusan positif menentang China dalam perlawanan pusingan kelayakan Piala Dunia 2026 yang dijadual berlangsung di Stadium Gelora Bung Karno, malam ini.
Keyakinan itu disuarakan pengendali, Patrick Kluivert terutamanya ketika pasukan itu berjaya menewaskan Bahrain pada Mac lalu selepas tewas 1-5 kepada Australia.
"Saya sangat yakin, dan ia bergantung kepada pemain untuk melaksanakan apa yang telah dilakukan ketika sesi latihan.
"Itu antara perkara yang mahu dilihat. Kami tahu sejauh mana kepentingan perlawanan ini," kata Kluivert yang membawa skuadnya ke kem latihan di pulau peranginan Bali untuk membuat persiapan.
Jepun merupakan pendahulu Kumpulan C dan telah mengesahkan tiket ke Amerika Utara pada 2026.
Australia berada di kedudukan kedua dengan 13 mata dan turut menghuni satu lagi slot automatik..
Ketika perlawanan berbaki dua pusingan, Arab Saudi menghuni tangga ketiga dengan kutipan 10 mata, satu mata mengatasi Indonesia di tempat keempat.
Manakala Bahrain dan China, masing-masing di kedudukan kelima serta keenam.
Pasukan yang menduduki tempat ketiga dan keempat akan memasuki satu lagi pusingan kelayakan -- potensi laluan untuk Indonesia ke Piala Dunia pertama sejak merdeka pada 1945.
Sementara itu, seramai 76,000 penonton dijangka hadir menyaksikan perlawanan malam ini di Stadium Gelora Bung Karno.
Kluivert berharap sorakan penyokong nanti dapat membantu pasukannya yang kini menghuni ranking ke-123 dunia meraih kemenangan.
“Saya harap kami dapat menunjukkan keputusan yang baik kepada mereka,” katanya. -AFP