fb fb fb fb fb

Vazquez kembali ke kancah MLS, sertai Austin dengan yuran perpindahan "istimewa"

FOTO AFP

MIAMI, 7 Januari- Penyerang antarabangsa AS, Brandon Vazquez, kembali ke Major League Soccer (MLS) dengan menyertai Austin FC dari kelab Mexico, Monterrey, dalam perjanjian rekod kelab.

Pemain berusia 26 tahun itu telah menandatangani kontrak selama empat tahun dengan kelab Texas tersebut dan akan didaftarkan sebagai 'Designated Player', yang membolehkan dia dibayar di luar had gaji MLS.

Austin tidak mendedahkan jumlah yuran perpindahan tetapi menyatakan ia merupakan rekod kelab. Menurut Givemesport.com, yuran tersebut dianggarkan sekitar AS$10 juta.

Vazquez memulakan tujuh tahun pertama kariernya di MLS, dengan membuat debut liga bersama Atlanta United pada tahun 2017. Dia adalah sebahagian daripada pemain yang membantu pasukannya memenangi Piala MLS pada 2018 dan Piala Terbuka AS pada 2019.

Penyerang itu kemudiannya berpindah ke FC Cincinnati menjelang musim 2020, di mana dia merekodkan 26 gol dan 12 umpanan dalam 62 perlawanan musim biasa MLS.

Cincinnati memindahkan Vazquez, yang lahir di San Diego, ke Monterrey pada Januari 2024 dan dia menjaringkan 14 gol dalam setahun bersama kelab tersebut.

"Austin FC adalah organisasi dengan sokongan peminat yang hebat dan perancangan besar untuk masa depan. Saya berharap dapat memberi impak segera musim ini dan menyumbang kepada kejayaan kelab untuk tahun-tahun akan datang," kata penyerang itu dalam kenyataan kelab.

Vazquez telah menjaringkan empat gol dalam 11 penampilan bersama pasukan kebangsaan AS.-AFP

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE