SYDNEY, 7 Januari- Pemain Australia, Nick Kyrgios dijangka kembali ke kejohanan tenis Davis Cup selepas lima tahun tidak menyertai kejohanan tersebut.
Pemain penuh kontroversi itu secara mengejut dipilih oleh kapten pasukan Australia, Lleyton Hewitt pada Selasa.
Kyrgios, tidak bermain dalam pertandingan pasukan tersebut sejak 2019, kerana kurang minat untuk kembali selain berdepan pelbagai kecederaan.
Namun, finalis Wimbledon 2022 itu termasuk dalam senarai nama yang dicalonkan untuk perlawanan menentang Sweden selepas kembali beraksi minggu lalu di Brisbane susulan pembedahan pada pergelangan tangan.
Kyrgios tewas dalam tiga set sengit kepada bintang muda Perancis, Giovanni Mpetshi Perricard dan berkata dia memerlukan "keajaiban" untuk menjadi kompetitif di Terbuka Australia yang bermula Ahad ini.
Hewitt turut menyenaraikan pemain nombor lapan dunia Alex de Minaur, Jordan Thompson, dan Thanasi Kokkinakis dalam pasukannya.
Australia, yang mara ke separuh akhir Piala Davis tahun lalu, akan bertemu Sweden di Stockholm pada 31 Januari hingga 1 Februari.-AFP