BORDEAUX, 26 Februari - Penyerang Honduras, Alerth Elis masih berada dalam keadaan tidak sedarkan diri pada Ahad selepas mengalami kecederaan parah di kepala, menurut kenyataan kelabnya, Bordeaux.
Elis 28 tahun mengalami kecederaan di kepala pada pertemuan menentang Guingamp pada perlawanan Liga 2 Perancis Sabtu lalu.
Insiden tersebut berlaku ketika Elis yang bergelut untuk menanduk hantaran lintang rakan sepasukan mengakibatkan dia berlaga dengan pertahanan Guingamp, Donatien Gomis.
Susulan insiden berkenaan, Elis terjatuh dan tidak sedarkan diri sebelum dikejarkan ke sebuah hospital bagi mendapatkan rawatan lanjut.
"Alberth Elis mengalami trauma di kepala yang menyebabkan pemain berkenaan berada dalam keadaan koma", kata kelab itu dalam kenyataan.
"Kami akan memantau tahap kesihatan Elis dalam beberapa hari ini.
"Buat masa ini, pihak kelab sukar untuk menyatakan status sebenar Elis"
Pengurusan kelab telah menyiapkan unit Psikologi bagi memberi sokongan kepada para pemainnya bagi mengharungi masa yang sukar ini", tambah kenyataan itu lagi.
Sementara itu, pasukan kebangsaan yang diwakili Elis, Honduras telah memuat naik mesej sokongan terhadapnya di X.
"Bertabahlah dan sentiasa kuat Alberth Elis. "La Panterita (Anak harimau hitam), anda adalah seorang pahlawan dan tahu bagaimana untuk berjuang. Honduras bersama anda", tulisnya di X.
Manakala beberapa pemain seperti Kaylian Mbappe dan beberapa kelab Perancis turut membanjiri media sosial dengan mesej sokongan terhadap Elis sejak Sabtu lalu.
Bordeaux memenangi perlawanan menentang Guigamp 1-0 dan rakan sepasukan Elis mendedikasikan kemenangan tersebut kepadanya.
Presiden kelab, Gerard Lopez pula berterima kasih kepada semua yang telah memberi sokongan kepada Elis.-AFP