KUALA LUMPUR, 27 Februari- Jaringan pemain Harimau Malaya, Muhammad Faisal Abdul Halim dinobat sebagai Gol Terbaik Kejohanan Piala Asia 2023.
Keputusan itu diumumkan Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) menerusi platform media sosial, selepas pengundian ditutup secara rasmi yang berakhir pada Isnin.
Pemain yang berasal dari Pulau Pinang, mendapat sebanyak 85 peratus daripada keseluruhan undian.
Muhammad Faisal, 26, atau lebih dikenali dengan panggilan 'Mickey', menjaringkan gol berkenaan ketika aksi menentang Korea Selatan pada 25 Januari lepas, apabila bijak mengelirukan beberapa pemain pertahanan untuk mengikat skuad Taegeuk Warriors, 3-3 pada aksi peringkat kumpulan.
Faisal berdepan lapan pencabar lain antaranya pemain Jepun, Keito Nakamura ketika menentang Vietnam, pemain Arab Saudi, Abdulrahman Ghareeb semasa menentang Oman, pemain tuan rumah Qatar, Hassan Al Haydos dalam aksi menentang China dan pemain Thailand, Supachok Sarachat dalam perlawanan menentang Uzbekistan.
Jaringan gol lain membabitkan pemain Jordan, Mousa Al Tamari semasa menentang Korea Selatan, pemain Korea Selatan, Son Heung-min ketika menentang Australia dan pemain Iran Sardar Azmoun dalam aksi menentang Qatar.
Pasukan tuan rumah, Qatar telah menjulang trofi kejuaraan kali kedua berturut-turut selepas menewaskan Jordan, 3-1 menerusi jaringan penalti yang kontroversi.
Selain itu, Qatar turut merangkul Anugerah Penjaring Gol Terbanyak menerusi pemain sayap, Akram Afif dengan lapan gol.