(FAM memperkenalkan Soleen Al-Zou'bi sebagai ketua jurulatih baharu skuad wanita kebangsaan)
KELANA JAYA, 16 Disember- Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) hari ini memperkenalkan Soleen Al-Zou'bi sebagai ketua jurulatih baharu skuad wanita kebangsaan.
Pengerusi Jawatankuasa Bolasepak Wanita FAM, Datuk Suraya Yaacob menyifatkan kehadiran Soleen permulaan yang baik bagi pasukan wanita negara.
Selain menjadi ketua jurulatih, Soleen juga dipertanggungjawab merancang pelan pembangunan bola sepak wanita negara.
"Dia akan menasihati FAM, menasihati jawatankuasa wanita bersama FAM untuk pasukan-pasukan kebangsaan dan juga pembangunan. Dia akan melihat semula pelan pembangunan yang sepatutnya dilancar tahun lepas. Ini termasuk keperluan yang ditetapkan oleh FIFA," kata Suraya.
Soleen yang juga bertindak sebagai Ketua Unit Bola Sepak Wanita FAM berkata, skuad negara mempunyai barisan pemain yang baik.
"Saya tiba di sini dua minggu lepas. Saya berkesempatan menyaksikan beberapa perlawanan. Saya dapat rasakan semangat dan tenaga mereka.
"Saya nampak semangat juang dalam diri pemain-pemain muda ini yang sekali gus menjadi pendorong untuk saya memulakan tugas di sini," katanya.
Beliau turut mendedahkan beberapa perancangan jangka pendek dan panjang dalam usaha memperkasakan bola sepak wanita negara.
Ini termasuk mengadakan liga berstatus amatur bagi memastikan pembangunan bola sepak wanita berada pada landasan tepat.
Soleen yang berasal dari Jordan sebelum ini merupakan Ketua Unit Bola Sepak Wanita dan Penolong Pengarah Teknikal di Persatuan Bola Sepak Jordan selain menjadi Ahli Jawatankuasa Bola Sepak Wanita AFC sejak tahun 2019.
(Pengendali baharu 'Malayan Tigress' fokus perkasakan bola sepak wanita negara/Foto fail)