PETALING JAYA, 14 September - Selangor MADANI Cup membuka tirai penganjuran sulungnya dengan penyertaan hampir 100 pasukan dan individu dalam tiga kategori bersempena sambutan Hari Malaysia.
Acara dua hari yang berlangsung di Padang Astaka, di sini dianjurkan Anwar Ibrahim Club (AIC) dengan kerjasama Kementerian Belia dan Sukan, Kerajaan Negeri Selangor serta Majlis Bandaraya Petaling Jaya.
Tiga acara dipertandingkan melibatkan kategori bola sepak terbuka, bawah 12 tahun dan e-sukan FC25, masing-masing menarik penyertaan 24 pasukan, 16 pasukan dan 55 peserta.
Wakil AIC, Jestin Raj Savarimuthu berkata kejohanan ini memberi tumpuan kepada penglibatan anak muda sekali gus menyemarakkan semangat komuniti.
“Program ini dianjurkan sebagai usaha mengangkat penglibatan belia dalam sukan dan komuniti, dan selepas Selangor, kita merancang untuk memperluaskan penganjuran ke negeri lain termasuk Perak,” kata beliau di sini, hari ini.
Sementara itu pengurus pasukan KL Klasiko, Mohd Halim Leman, berkata penyertaan pasukan mereka dalam kejohanan ini adalah sebahagian daripada persiapan menghadapi saingan liga akan datang.
“Kami mencari liga yang kompetitif sebagai persediaan supaya pemain bersedia menghadapi musim baharu. Dalam masa sama, bola sepak sosial yang semakin berkembang juga membuka peluang kepada bakat baharu untuk diketengahkan,” jelasnya.
Pihak penganjur optimis edisi pertama ini menjadi pemangkin kepada lebih banyak penganjuran seumpamanya, selain menjadi medan bakat golongan belia mencipta ruang ke peringkat lebih tinggi.
