LONDON, 29 Mei- Penyokong Manchester United marah selepas kelab itu kalah memalukan 1-0 di tangan ASEAN All-Stars.
United mencecah paras terendah baharu apabila mereka tumpas aksi pertama daripada dua perlawanan persahabatan pascamusim di Malaysia dan Hong Kong sekalipun Bruno Fernandes, Amad Diallo, Harry Maguire, Andre Onana dan Alejandro Garnacho semuanya turun bermain.
ASEAN All-Stars, pasukan pilihan membariskan pemain skuad kebangsaan di Asia Tenggara, menjulang Piala Cabaran Maybank selepas gol kemenangan Maung Maung Lwin di depan 84,000 penonton di Stadium Nasional, Bukit Jalil, malam tadi.
Kekalahan mengaibkan itu hadir hanya tiga hari selepas pasukan kendalian Ruben Amorim berakhir di tangga ke-15 dalam Liga Perdana Inggeris.
Ia merupakan keputusan terburuk mereka sejak turun divisyen pada tahun 1974 dan hanya kali kedua dalam tempoh 35 tahun mereka terlepas pertandingan Eropah.
United akan melengkapkan jelajah mereka menentang pasukan kebangsaan Hong Kong di Stadium Hong Kong dengan kapasiti 40,000 malam esok.