KUALA LUMPUR, 15 November - Kementerian Belia dan Sukan (KBS) akan menumpukan pembangunan bakat baharu daripada empat jenis sukan yang dipertandingkan pada Sukan Olimpik bermula tahun depan.
Menterinya Hannah Yeoh berkata, empat sukan itu ialah angkat berat, memanah, taekwondo dan menembak.
Menurutnya, Kementerian Kewangan juga telah bersetuju untuk menyediakan dana tambahan hampir RM1 juta untuk meneroka bakat baharu bagi setiap empat sukan berkenaan.
"Bermaksud ada sukan-sukan khas seperti memanah, taekwondo, menembak, angkat berat dan ini merupakan sukan-sukan yang kita rasa kita perlu suntikan dana.
"Kita telah minta dengan Kementerian Kewangan dan mereka telah beri hampir RM1 juta setiap sukan ini," katanya ketika ditemui selepas sesi pascanilai Sukan Olimpik dan Paralimpik 2024.
Keempat-empat sukan terbabit belum pernah menyumbang pingat buat negara pada Sukan Olimpik setakat ini.
Dalam perkembangan lain, Hannah berkata, terdapat keperluan untuk mencari bakat baharu dalam sukan terjun terutamanya penerjun wanita.
"Untuk acara terjun kita perlukan disiplin, perlukan bakat baharu kerana tidak ada bakat baharu dan keperluan pengisian perlu supaya kita tidak bergantung pada beberapa atlet sahaja,” katanya.
Berdasarkan senarai penerjun wanita dalam skuad kebangsaan ketika ini, hanya Datuk Pandelela Rinong dan Nur Dhabitah Sabri yang pernah beraksi di pentas Olimpik.