KUALA LUMPUR, 15 November- SMK Gunung Rapat melihat saingan 100PLUS Liga Piala Menteri Pendidikan Bawah 14 Tahun 2024 sebagai pengalaman berharga dan dijadikan pentas untuk mempersiapkan anak didiknya untuk mengharungi saingan bola sepak Majlis Sukan Sekolah Malaysia (MSSM) tahun depan.
Ketua Jurulatih SMK Gunung Rapat (SSN Perak), Mohd Kamil Hakimie Mohd Nazri nyata memberikan pujian kepada anak didiknya yang sentiasa memberi yang terbaik sepanjang perlawanan.
“Ini adalah permulaan untuk kami bersedia untuk tahun depan bagi mengharungi saingan bola sepak Majlis Sukan Sekolah Malaysia (MSSM) kerana ia adalah penanda aras segalanya.
“Kredit saya berikan kepada pemain pemain. Ada pasang surut sepanjang musim ini kerana pemain pemain baharu mengenali dunia bola sepak yang sebenarnya dan Liga KPM adalah antara yang tertinggi di Malaysia dan semua pemain pemain mahu bermain dengan pasukan pasukan seperti Akademi JDT (SMK Taman Desa), Akademi Mokhtar Dahari, Sekolah Sukan Bukit Jalil (SSBJ) dan Sekolah Sukan Tunku Mahkota Ismail (SSTMI) kerana ia memberi pengalaman berharga untuk mereka,”kata Mohd Kamil.
SMK Gunung Rapat menamatkan Kumpulan A di kedudukan kelapan dengan 14 mata sekali gus gagal untuk menempatkan diri ke saingan Piala Menteri Pendidikan Malaysia edisi 2024.
Dalam pada itu, SMK Taman Desa yang juga merupakan Akademi Johor Darul Takzim (JDT) memasang impian untuk memburu keputusan positif di Piala Menteri Pendidikan Malaysia kelak.
Pengendalinya, Rodolfo Pereda Villa akan memastikan kelemahan pemain diperbaiki sebelum turun beraksi di peringat suku akhir nanti.
Terdahulu SMK Taman Desa menamatkan saingan Kumpulan A ditangga kedua selepas melakar kemenangan tipi 1-0 ke atas SMK Gunung Rapat dalam aksi terakhir peringkat kumpulan pada Sabtu yang berlangsung di Stadium Mini Taman Ungku Tun Aminah, Skudai, Johor.
Gol tunggal perlawanan dijaringkan Mohd Fahim Akmal Zulkarnain di masa tambahan sebelum tamat separuh masa pertama.
“Perak (SMK Gunung Rapat) menunjukkan permainan yang baik, tahniah diucapkan kepada barisan kejurulatihan dan pemain pemain. Walaupun sudah tidak berpeluang untuk mara ke suku akhir, tetapi mereka bermain dengan serius dan professional,” jelas Rodolfo Pereida lagi.
Lima pasukan daripada Kumpulan A dan tiga pasukan daripada Kumpulan B 100PLUS Liga Piala Menteri Pendidikan Malaysia Bawah 14 Tahun 2024 akan bersaing bagi merebut Piala Menteri Pendidikan Malaysia edisi 2024.
Pasukan Yang Layak ke Piala Menteri Pendidikan Malaysia 2024.
Kumpulan A
1.Akademi Mokhtar Dahari
2.SMK Taman Desa (Akademi JDT B14)
3.Sekolah Sukan Tunku Mahkota Ismail
4.SMK Mutiara Impian
5.SMK Tunku Anum Tunku Abdul Rahman
Kumpulan B
1.SMK Taman Desa (Akademi JDT B14 B)
2.SMK Ibrahim Fikri
3.SMK Seri Titiwangsa