fb fb fb fb fb

Hoki Piala Sultan Azlan Shah: Malaysia tewas 3-4 kepada India

Pemain hoki negara, Norsyafiq Sumantri (kanan) cuba merampas bola ketika bertemu pemain pasukan India pada saingan Piala Sultan Azlan Shah ke-31 di Stadium Hoki Azlan Shah, hari ini/ BERNAMA

IPOH, 26 November - Skuad hoki negara tewas 3-4 kepada India dalam aksi ketiga Kejohanan Hoki Piala Sultan Azlan Shah edisi ke-31, sebentar tadi.

India membuka tirai jaringan seawal minit ke-7 menerusi gol padang Karthi Selvam.

Faizal Saari kemudian menyamakan kedudukan buat ‘Speedy Tigers’ selepas menyempurnakan pukulan sudut penalti pada minit ke-13.

India kembali di depan pada minit ke-21 hasil jaringan padang Sukhjeet Singh selepas memanfaatkan situasi kelam kabut di depan gawang negara.

Anak buah Sarjit Singh bagaimanapun kembali menjadikan kedudukan 2-2 pada minit ke-36 menerusi gol Mohd Fitri Saari.

Berselang tiga minit kemudian, India menjaringkan gol ketiga menerusi pukulan sudut penalti disempurnakan Amit Rohidas.

Kapten skuad negara, Marjan Jalil kemudian menyamakan kedudukan buat skuad negara hasil gol padang pada minit ke-45.

Jaringan kemenangan pasukan India diperoleh hasil pukulan penalti disempurnakan Sanjay Rana pada minit ke-45.

Dalam pada itu ketua jurulatih negara, Sarjit Singh mengakui aspek pertahanan perlu diperkemas menjelang aksi bertemu pasukan ranking ketiga dunia, Belgium, esok. 

“Kami perlu memperkukuh pertahanan. Bahagian serangan bermain dengan baik, begitu juga barisan tengah. Sekarang kami perlu fokus pada proses pemulihan kerana Belgium menunjukkan prestasi yang semakin baik. Perlawanan esok pastinya tidak mudah, ia akan menjadi satu lagi aksi sengit. Kami perlu pulih dengan cepat dan bersedia sepenuhnya untuk perlawanan seterusnya,” kata beliau.

Sementara itu ketua jurulatih India, Craig Fulton berpuas hati dengan aksi ditampilkan barisan pemainnya.

"Pada masa sama, mereka menguji segala-galanya walaupun bermain dengan kurang seorang pemain, terutamanya pada enam hingga tujuh minit terakhir. Kemudian mereka keluarkan penjaga gol dan kami kembali bermain sebelas lawan sebelas, yang sedikit membantu. Namun mereka tetap mencipta beberapa peluang besar dalam tempoh itu, keputusan mungkin memihak kepada mereka di lain kali. Tetapi saya bersyukur kami memperoleh kemenangan hasil disiplin pertahanan yang baik," ujarnya.

SAHZAN FAZLI BIN ZAINUDDIN