fb fb fb fb fb

Deaflympics 2025: Kem olahraga pekak negara masih kemarau pingat

Foto BERNAMA

TOKYO, 26 November - Kem olahraga pekak negara masih belum mampu menandingi kuasa besar dunia apabila Deaflympics Tokyo 2025 melabuhkan tirai hari ini.

Ketua jurulatih olahraga, Amiluddin Mohd Amin, berkata pencapaian mara ke final menepati sasaran awal skuad negara, namun beberapa acara masih gagal mencapai Petunjuk Prestasi Utama (KPI) yang ditetapkan sebelum ini.

"Ada beberapa acara yang kita sasarkan ke final dan saya gembira sasaran itu berjaya dicapai. Ia menunjukkan disiplin dan usaha atlet walaupun berdepan negara yang terkenal dalam olahraga,” katanya.

Edisi kali ini, tumpuan terarah kepada pelari jarak sederhana, Azlan Kuste yang mara ke tiga final dan dua kali memecahkan rekod kebangsaan menerusi acara 800m.

"Azlan membawa semangat Gunung Kinabalu ke Tokyo. Saya amat bangga kerana beliau memecahkan rekod peribadi dan kebangsaan dua kali," katanya lagi.

Beliau turut memuji aksi pasukan 4x100m dan 4x400m lelaki selepas melangkah ke final meskipun ramai penyertaan atlet muka baharu selain Zaiman Megat Abu dan Shahrul Azmer Azman yang berpengalaman dari edisi 2021.

Kali terakhir Malaysia meraih pingat olahraga Deaflympics ialah pada 2005 menerusi Zana Azizul Ujang, pemenang emas 2001 dan satu-satunya juara emas negara dalam sejarah temasya itu.

SAHZAN FAZLI BIN ZAINUDDIN