fb fb fb fb fb

FAM rehatkan pengadil, aksi tertangguh Perak-JDT

Foto Bernama

KUALA LUMPUR, 15 November - Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) merehatkan pengadil dan pengadil Video Bantuan Pengadil (VAR) yang ditugaskan pada perlawanan tertangguh Liga Super antara Perak FC dan Johor Darul Ta’zim (JDT) di Stadium Sultan Ibrahim Ahad lepas.

Timbalan Presiden FAM Datuk S. Sivasundaram berkata Jawatankuasa Penilaian Prestasi Pengadil telah membuat analisis berkaitan insiden situasi sepakan penalti pada minit ke-38 dan pergelutan pada minit ke-84 melibatkan pemain JDT Arif Aiman Mohd Hanapi serta pemain Perak Tommy Mawat Bada.

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengadil FAM berkata analisis kedua-dua insiden berkenaan dilakukan berpandukan Undang-Undang Permainan Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA).

Pihaknya mendapati keputusan pengadil perlawanan serta pengadil VAR adalah kurang tepat.

“Sehubungan itu Jawatankuasa Pengadil FAM mengambil keputusan untuk merehatkan pengadil berkenaan sebanyak dua perlawanan daripada sebarang tugas pengadil di Liga Profesional dan Liga Amatur.

“Kedua-dua pengadil ini juga akan dirujuk ke fasa pemulihan dan pemurnian sebelum diberikan tugas pengadil,” jelasnya dalam kenyataan hari ini.

Pada aksi di Iskandar Puteri, Johor Ahad lepas itu, perlawanan menjadi tegang berpunca daripada insiden pergaduhan yang tercetus apabila Tommy Mawat cuba menghalang larian Arif Aiman sebelum kedua-dua pemain gagal mengawal emosi.

Ketika rakan sepasukan dan pengadil Razlan Joffri Ali cuba meleraikan pergaduhan, Tommy Mawat dilihat mencekik Arif Aiman sebelum pemain JDT berkenaan mengasari lawannya dengan melepaskan pukulan ke arah kepala.

Tanpa penilaian VAR, kedua-dua pemain hanya dilayangkan kad kuning dan keadaan kembali terkawal hingga wisel penamat yang berkesudahan JDT menang 5-0 ke atas Perak FC.

FAM memandang berat isu prestasi pengadil termasuk pengadil VAR dan tidak akan berkompromi dalam hal berkaitan persembahan serta kualiti pengadil.

Para pemain turut diingatkan supaya mengawal emosi di atas padang.

Sementara itu Setiausaha Agung FAM Datuk Noor Azman Rahman memaklumkan sekretariat Agung FAM telah menghantar kertas pertuduhan membabitkan kes pergaduhan Arif Aiman dan Tommy Mawat kepada kelab masing-masing, Rabu lepas.- BERNAMA

 

Trainee