KUALA LUMPUR, 15 November - Jumlah bakat baharu membabitkan atlet para negara kian kritikal.
Perkara itu diakui oleh Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh terutamanya membabitkan sukan para olahraga dan berbasikal.
"Ramai daripada mereka sebenarnya sudah mencecah umur yang agak senior dan tiada nombor dua yang boleh ganti mereka.
"Saya bagi contoh untuk Muhammad Ziyad Zolkefli (lontar peluru).. Ziyad masih boleh beraksi tetapi ada keperluan untuk junior naik..tetapi dalam pascanilai kita dengar tak dapat cari lagi seorang yang boleh gantikannya, oleh itu, Ziyad tak boleh bersara..dia kena teruskan.
"Untuk bakat atlet para tahun depan Kementerian Belia dan Sukan (KBS), Majlis Sukan Negara (MSN) dan Jabatan Belia dan Sukan Negeri (JBSN) akan perluaskan program bakat," katanya dalam sidang media selepas sesi pascanilai Sukan Olimpik dan Paralimpik 2024.
Bagi sukan berbasikal para pula, beliau dimaklumkan memang sukar dan jurulatih perlu berusaha keras serta memerlukan tujuh tahun untuk mempersiapkan atlet.